Oleh: Safwan Sawi
KOTA MARUDU: Seorang pemandu maut manakala lima lagi cedera dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan di Jalan Manggaris, di sini, pagi tadi.
Mangsa, lelaki, 52 tahun yang memandu kerata Proton Saga disahkan meningal dunia di lokasi kejadian.
Manakala pemandu lelaki dan penumpang wanita kenderaan pacuan empat roda, Mitsubshi Triton termasuk dua kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan cedera ringan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata berdasarkan laporan Komander Operasi, Gubah Maradan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.54 pagi.
Sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu digerakkan ke lokasi kejadian.
“Lapor kemalangan melibatkan Mitsubishi Triton dan Proton Saga. Terdapat seorang mangsa tersepit dalam kenderaan Proton dikeluarkan oleh pasukan Bomba dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Operasi turut melibatkan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurutnya mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada polis untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Katanya kesemua yang cedera ringan dihantar ke Hospital Kota Marudu untuk rawatan lanjut.
Operasi ditamatkan pada jam 9.40 pagi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.