comscore
Tumpuan :
Nasional

Seorang maut, 4 rakan cedera dalam kemalangan di LPT2

Keadaan motosikal mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 363, Lebuh Raya Pantai Timur Dua (LPT2) malam tadi. – FOTO: NSTP

DUNGUN: Seorang pemuda maut manakala empat rakannya cedera termasuk seorang parah selepas motosikal ditunggangi mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 363, Lebuh Raya Pantai Timur Dua (LPT2) berhampiran susur keluar Plaza Tol Bukit Besi, malam tadi.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Iqbal Jus Aidil Zaims Sharief, 19, berasal dari Binjai Rendah, Marang yang disahkan meninggal dunia di Hospital Dungun, kira-kira jam 1 pagi dalam kemalangan membabitkan tujuh buah kenderaan.

Mangsa yang parah dikenali sebagai Muhammad Hannan Abdul Ghani,19, sementara tiga lagi iaitu Faris Rahimi Amran, 17; Haziq Izham Arif Rahimi,19, dan Muhammad Farhan Aqil Zainuddin,18, dilaporkan cedera.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 10.40 malam.Menurutnya, sebelum kejadian itu, kesemua mangsa dikatakan dalam perjalanan dari arah Dungun menghala ke Marang.

“Siasatan awal polis mendapati sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal yang ditunggang Iqbal Jus Aidil dikatakan hilang kawalan lalu terjatuh di atas jalan.

“Dalam masa yang sama, empat lagi penunggang yang berada di belakang cuba mengelak lalu terbabas sebelum berlanggar dengan dua buah kereta iaitu Honda Jazz dan Perodua Alza.

“Kesemua mangsa dikejarkan ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut namun Iqbal Jus Aidil disahkan meninggal sebaik tiba di Hospital Dungun.

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, seorang rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, sebelum kejadian itu, mereka mengadakan pertemuan dan menikmati makan malam di sebuah kedai makan di Bandar Baru Kerteh.

“Kumpulan kami dikenali sebagai Black Premier dari seluruh Terengganu berkumpul di Pantai Paka, Dungun kira-kira jam 6 petang.

“Kumpulan kami terdiri daripada 100 buah motosikal bergerak ke Bandar Baru Kerteh untuk jamuan makan malam dan berkumpul di Plaza Tol Kerteh kira-kira jam 10 malam untuk sesi bergambar sebelum masing-masing bertolak pulang,” katanya.

Katanya, dia terkejut selepas mendapat panggilan memaklumkan rakannya itu terbabit dalam kemalangan

.”Saya ingat hanya kemalangan kecil dan bila tiba di Hospital Dungun saya dimaklumkan Iqbal sudah meninggal.

“Tak sangka dia (Iqbal) yang beria-ria mengajak kami bergambar beramai-ramai sebagai kenangan itu adalah petanda dia akan pergi meninggalkan kami buat selamanya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini