SIBU: Seorang lelaki maut, manakala empat yang lain cedera dalam nahas membabitkan Proton Saga dan kenderaan pelbagai guna (MPV), Proton Exora di Jalan Ulu Oya, di sini, awal pagi tadi.
Lungan Engkang, 53, disahkan maut di lokasi kejadian selepas pemeriksaan oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, berkata tiga penumpang dalam Proton Saga dipandu mangsa dan pemandu Proton Exora, lelaki berusia 30 tahun mengalami kecederaan.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dihantar ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan jam 7 pagi.
“Impak kuat menyebabkan kereta dipandu mangsa terbabas ke bahu jalan dan remuk pada bahagian hadapan,” katanya.
Katanya, pasukan bomba kemudian mengeluarkan mangsa yang tersepit pada kerusi pemandu sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sibu bagi bedah siasat. Empat mangsa yang cedera juga dihantar ke hospital sama untuk rawatan susulan,” katanya.