Tumpuan :
Nasional

Seorang maut, 2 cedera ketika berlumba di lebuh raya

Rakaman tular di media sosial. Foto tular

SUNGAI BULOH: Seorang samseng jalanan maut selepas motosikal ditunggang terbabas dan merempuh pembahagi jalan dipercayai ketika berlumba di Kilometer 11.5, Lebuhraya Guthrie arah utara, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, kemalangan membabitkan tiga motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang hilang kawalan sejurus tiba di lokasi kejadian jam 3.27 pagi.

“Polis mengesan video tular di media sosial memaparkan aksi menunggang secara melulu dan membahayakan sehingga menyebabkan kemalangan maut pada 22 Februari lalu.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal pertama bergesel dengan motosikal kedua sehingga menyebabkan kedua-dua mereka hilang kawalan lalu merempuh pembahagi jalan.

“Penunggang pertama tercampak di tengah longkang pembahagi jalan dan penunggang kedua terjatuh di sebelah kanan bahu jalan.

“Kemudian, datang motosikal ketiga dari arah belakang tidak sempat mengelak motosikal pertama dan kedua lalu terbabas menyebabkan penunggang ketiga terjatuh,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya, kesemua penunggang terbabit adalah lelaki tempatan berusia 21 tahun dan penunggang pertama disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua lagi mangsa mengalami kecederaan.

Katanya, penunggang kedua ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) manakala penunggang ketiga mengalami kecederaan di bahagian tangan dan kaki.

Beliau berkata, sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Azie Azyanti Mohd Rafae di talian 013 675631 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Polis menasihatkan orang ramai agar tidak terbabit dengan sebarang aktiviti yang tidak bermoral terutama kegiatan lumba haram mahupun samseng jalanan kerana ianya perbuatan yang sia-sia,” katanya.

Terdahulu, satu klip video berdurasi satu minit 11 saat tular di media sosial memaparkan sekumpulan penunggang motosikal berlumba dan menunggang secara melulu sebelum berlaku kemalangan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini