HULU SELANGOR: Kegembiraan empat lelaki berkelah di Air Terjun Sungai Pertak, Kuala Kubu Bharu di sini, bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka ditemui lemas, hari ini.
Muhammad Amir Wafiq, 20, disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan selepas mayatnya ditemui di lokasi kejadian pada jam 5.04 petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 3.45 petang.
Katanya, sepasukan lapan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu diketuai Komander Operasi Kanan, Kamil Hamadan, dihantar ke lokasi.
“Menurut laporan awal, kejadian membabitkan seorang lelaki berusia 20 tahun lemas ketika mandi-manda di air terjun bersama tiga rakannya.
“Pencarian secara ‘water surface’ segera dilakukan oleh pihak bomba.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.