
KOTA BHARU: Seorang lelaki warga Malaysia akan menghadapi tiga pertuduhan selepas ditahan pihak berkuasa Thailand pada Rabu lalu.
Jurucakap polis Thailand yan dipetik BH berkata, lelaki berusia 28 tahun dari Pasir Mas itu ditangkap polis Thailand pada 19 Februari lalu kerana memiliki pil Yaba.
Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut terhadap suspek mendapati dia positif dadah berkenaan dan menetap di Thailand secara haram.
Jurucakap itu berkata, suspek ditahan dalam operasi antidadah yang dijalankan bersama polis narkotik Thailand dan Bahagian Imigresen Narathiwat di pekan Sungai Golok.
“Dalam serbuan jam 11.30 pagi (waktu Thailand) di sebuah rumah di Charoen Khet Road, pihak berkuasa Thailand menemui 16 biji pil Yaba dalam simpanan lelaki warga Malaysia itu.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek yang juga seorang penagih dadah tidak mempunyai dokumen yang sah untuk memasuki Thailand dan menetap di bandar sempadan secara haram.
“Suspek menyebabkan dirinya dalam masalah kerana dia akan menghadapi tiga pertuduhan iaitu memiliki, memakan dan tinggal di Thailand secara haram,” kata jurucakap itu.
Jurucakap itu menambah di bawah undang-undang Thailand, mereka yang disabitkan kesalahan memiliki dadah boleh dihukum penjara antara 10 dan 15 tahun dan denda 200,000 baht (RM26,338).
Kerana tinggal secara haram, jurucakap itu berkata pesalah boleh didenda sehingga 50,000 baht (RM6,500) atau berdepan hukuman penjara kurang daripada dua tahun.
Suspek adalah rakyat Malaysia terbaru yang ditahan pihak berkuasa Thailand kerana memiliki dadah.
Penahanannya dibuat hanya lapan hari selepas seorang wanita warga Malaysia berusia 54 tahun ditahan pada 11 Februari lalu.
Wanita Malaysia itu ditahan polis Thailand kerana didakwa memiliki 1,542 pil Yaba di pekan Sungai Golok minggu lalu.
Wanita itu ditahan bersama seorang wanita warga Thailand dalam serbuan berasingan di Jalan Choltharan Khet dan Jalan Witiutok di wilayah kecil Sungai Golok minggu lalu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.