Tumpuan :
Nasional

Seorang lagi terbabit kes pukul OKU di pasar tani direman

Suspek yang dipercayai terlibat memukul OKU di Pasar Tani Astaka Chukai direman 3 hari oleh Mahkamah Majistret Kemaman hari ini.

CHUKAI: Seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian pukul seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) dalam kejadian di Pasar Tani Padang Astaka pada Jumaat lalu, direman tiga hari oleh Mahkamah Majistret Kemaman bermula hari ini.

Majistret, Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin, membenarkan reman ke atas lelaki terbabit yang berusia 40 tahun itu bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Lelaki terbabit ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kemaman kira-kira jam 11.30 malam tadi.

Media sebelum ini melaporkan, mangsa lelaki OKU mental berusia 47 tahun dipukul beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka kira-kira jam 9.30 pagi Jumaat lalu.

Mangsa dipukul selepas motosikal ditunggangnya terlanggar sebuah gerai jualan menyebabkan makanan yang dijual peniaga di situ terjatuh dan tumpah.

Berikutan itu, mangsa mengalami kecederaan dipercayai akibat dipukul dan disepak oleh beberapa individu dipercayai peniaga dan pembeli di pasar tani terbabit.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Wan Muhamad Wan Ja’afar berkata, berikutan kejadian itu setakat ini, polis sudah menahan lima lelaki berusia 18 hingga 60 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, polis turut memanggil beberapa saksi lain untuk diambil keterangan termasuk ahli keluarga mangsa bagi membantu siasatan.

Loading...
Terkini