Tumpuan :
Nasional

Seorang lagi rakyat Malaysia berdepan hukuman mati di Singapura

Foto hiasan

PETALING JAYA: Seorang lagi rakyat Malaysia yang disabitkan kesalahan mengedar dadah di Singapura akan dihukum mati.

Hamzah Ibrahim, yang berusia 60-an, akan menjalani hukuman itu pada Rabu depan, menurut bekas peguamnya M Ravi.

Menurut laporan FMT yang memetik surat oleh Perkhidmatan Penjara Singapura kepada anak saudara Hamzah, bertarikh 19 Februari lalu, keluarganya dibenarkan melawat sehingga sehari sebelum hukuman itu.

Pada 2017, Mahkamah Tinggi Singapura menjatuhkan hukuman mati ke atas Hamzah kerana mengedar 26.29 gram heroin.

Dia telah diberikan Sijil Bantuan Substantif (CSA) kerana membantu pasukan narkotik polis Singapura dalam ‘mengganggu aktiviti pengedaran dadah’, tetapi mahkamah memutuskan untuk menjatuhkan hukuman mati kepadanya.

“Dia tidak layak untuk hukuman alternatif penjara seumur hidup kerana tidak dianggap sebagai penghantar, iaitu syarat kedua untuk hukuman alternatif selepas mendapat CSA.

“Saya menggesa masyarakat tempatan dan antarabangsa untuk menyertai kempen mendesak kami untuk menyelamatkan Hamzah daripada dihukum mati Rabu depan,” kata Ravi di Instagram.

Sebelum ini, seorang lagi rakyat Malaysia P Pannir Selvam diberikan penangguhan hukuman mati pada saat akhir oleh Mahkamah Rayuan Singapura, Rabu lalu.

Dia sepatutnya menjalani hukuman mati pada Khamis.

Pada 2017, Pannir disabitkan oleh Mahkamah Tinggi Singapura kerana memperdagangkan 51.84g heroin di pusat pemeriksaan Woodlands pada 3 September 2014.

Penangguhan hukuman itu diberikan kerana cabaran berterusan terhadap Seksyen 18 (2) Akta Penyalahgunaan Dadah Singapura dan aduannya mengenai kelakuan peguamnya terdahulu di Singapura, Ong Ying Ping.

Pannir, yang diberi bungkusan oleh seorang warga Malaysia untuk diserahkan kepada seorang lelaki sebaik tiba di Singapura, secara konsisten menafikan mengetahui bungkusan itu mengandungi dadah.

Dia juga diberikan penangguhan hukuman mati pada 2019.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini