Tumpuan :
Nasional

Seorang lagi penumpang bas ekspres terbakar meninggal dunia

Foto fail NSTP

ALOR GAJAH: Seorang lagi mangsa kemalangan bas ekspres terbakar di Kilometer 198 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara awal pagi semalam, dilaporkan meninggal dunia malam tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, berkata Peer Mohamed Kannudeen, 70, yang melecur 80 peratus disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Melaka jam 8.57 malam.

Katanya, lelaki berasal dari Tamil Nadu, India itu, adalah datuk kepada mangsa pertama, Yafarah Taj Fakrudin Hussaini, 17, yang meninggal dunia di Hospital Alor Gajah pagi semalam.

“Remaja itu akan dikebumikan di Kuala Ina hari ini,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Tambahnya ibu remaja itu, Anissa Begum Fakrudin Hussaini, 45, yang melecur 50 peratus masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka.

Dua lagi mangsa iaitu kakak dan nenek remaja itu yang cedera ringan dibenarkan keluar dari hospital selepas menerima rawatan semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 pagi semalam, seorang pelancong wanita maut selepas bas ekspres dinaiki terbakar dalam kemalangan di Kilometer 198, Lebuh Raya Utara Selatan arah Utara.

Bas berkenaan dalam perjalanan dari Singapura ke Kuala Lumpur membawa 28 penumpang warga Malaysia, Taiwan, India, Singapura dan United Kingdom.

Baki 23 penumpang lagi terselamat dan tidak mengalami kecederaan.

Loading...
Terkini