Tumpuan :
Nasional

Seorang lagi nelayan bot karam belum ditemui

Foto hiasan

KUCHING: Hanya seorang daripada enam nelayan yang hanyut di laut selepas bot karam di perairan Tanjung Sipang, Santubong pada 17 Disember lalu, masih gagal ditemui sehingga hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, mangsa kelima dan yang terbaharu diselamatkan kira-kira 3 petang semalam oleh kru kapal di Tanjung Po, Muara Tebas, di sini serta terus dibawa ke Sibu.

“Selepas dirujuk kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) hari ini, mangsa disahkan warga Kemboja dikenali Thy Ny iaitu salah seorang nelayan yang terbabit dalam bot karam di perairan Tanjung Sipang, Santubong.

“Mangsa kemudian diserahkan kepada Pasukan Polis Marin (PPM) Sibu, seterusnya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu untuk dibawa ke Hospital Sibu bagi mendapatkan rawatan sebelum dihantar ke Kuching untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tiga mangsa lain iaitu Khlok Sem (warga Kemboja), Adikah (warga Indonesia) dan Irman (Indonesia) sebelum ini diselamatkan nelayan tempatan di kedudukan 3.5 batu nautika di barat Pulau Burong, semalam.

Mereka diselamatkan selepas tujuh hari bot karam dan dibawa ke Jeti Kampung Goebilt di Kuching.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diteruskan kemudian berjaya mengesan seorang lagi mangsa terselamat iaitu Oeun Van, 37, di kawasan Sungai Serpan Laut, Asajaya.

SAR kini hanya tertumpu kepada mangsa keenam yang dikenal pasti sebagai Chaloem Sonada iaitu warga Thailand.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini