Tumpuan :
Nasional

Seorang kru maut, dua cedera, bot nelayan meletup dekat Pulau Tinggi

Oleh: Zahir Senapiah

MERSING: Seorang kru maut manakala dua lagi cedera selepas enjin sebuah bot nelayan meletup pada kedudukan empat batu nautika barat laut Pulau Tinggi, dekat sini, pagi tadi.

Kejadian berlaku jam 8 pagi tadi dipercayai bermula dari bilik penghawa dingin.

Tekong bot berkenaan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Komander Maritim Zon Mersing, Suhaizan Saadin berkata, sejurus menerima laporan kejadian, sebuah bot ronda Maritim, Perkasa 44 diarah ke lokasi kejadian untuk memberikan bantuan.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, anggota Maritim mendapati empat orang mangsa terbabit dalam kemalangan itu.

Semua mereka adalah warga tempatan berusia dalam lingkungan 43 hingga 59 tahun.

Tekong bot, Mohd Ariffin Mohamed 57 tahun berkata, beliau terdengar bunyi letupan kuat disyaki daripada enjin bot disusuli api menyambar dan terus terkena salah seorang kru yang berada di anjungan bot.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Muhmad Arodi Sulaiman, 43 tahun.

Manakala mangsa cedera dikenali sebagai Mohd Nazri bin Che Soh, 43 tahun dan Mamat Man 59 tahun.

Kesemua mangsa dan mayat telah dibawa ke jeti Pasukan Marin (PPM) Mersing untuk tindakan lanjut.

Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan polis.

Loading...
Terkini