comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Remaja lelaki dikhuatiri lemas dalam usaha selamatkan adik perempuan selepas sambutan hari jadi


Oleh: Selwam Arjunan

LANGKAWI: Sambutan hari jadi bertukar tragedi buat sebuah keluarga apabila seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas di Pantai Chenang, di sini, petang tadi.

Mangsa, Muhammad Izzham Hakimie Azizi, 15, dipercayai lemas selepas cubaan menyelamatkan adik perempuannya, 14.

Ketua Polis Daerah Langkawi, ACP Shariman Ashari berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 3.05 minit petang tadi.

Katanya, siasatan mendapati mangsa bersama ahli keluarganya iaitu abang ipar, kakak, adik perempuan serta 5 lagi rakan ke kawasan pantai untuk menyambut hari lahir adik perempuan kira-kira jam 2.45 petang.

Keluarga berkenaan berasal dari Kampung Bohor Tempoyak, Kedawang di Langkawi.

“Selepas sambutan hari lahir, mangsa bersama adik perempuan dan dua lagi rakan lelakinya turun ke pantai untuk mandi.

“Kakak dan abang ipar mangsa menyatakan mereka menyedari adik mereka lemas apabila nampak dua orang terapung di tepi laut dan orang ramai cuba menyelamatkan orang lemas.

“Saksi menyatakan mangsa cuba menyelamatkan adik perempuan dan dalam usaha menyelamatkan adik perempuannya, mangsa lemas dan tidak dijumpai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, tiga orang iaitu adik perempuan mangsa dan dua rakan lelakinya diselamatkan orang awam telah dibawa ke Hospital Sultanah Maliha.

Mereka berada dalam keadaan stabil selepas rawatan dan ditempatkan di wad biasa.

Operasi carilamat mangsa lemas sedang digerakkan disertai Polis, Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini