Tumpuan :
Nasional

Seorang individu ditahan, disyaki terbabit dalam kes rasuah PUSPAKOM

PUTRAJAYA: Seorang individu yang disyaki terlibat dalam kes rasuah berkaitan pemeriksaan kenderaan berat di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) di ibu negara ditahan, hasil kolaborasi strategik antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Individu itu telah diserahkan oleh JPJ kepada SPRM pada petang semalam dan kemudiannya ditahan selepas rakaman keterangan dilakukan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Kes itu kini sedang disiasat di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.

“Siasatan awal mendapati bahawa suspek telah membuat bayaran rasuah berjumlah ratusan ringgit bagi setiap kenderaan yang diperiksa, sebagai balasan untuk meluluskan pemeriksaan kenderaan berat di PUSPAKOM.

“Penangkapan membuktikan komitmen teguh SPRM dan JPJ dalam memastikan integriti proses pemeriksaan kenderaan di negara ini terpelihara serta bebas daripada amalan rasuah,” menurut SPRM dalam satu kenyataan.

SPRM menegaskan komitmennya dalam memerangi rasuah, terutamanya yang melibatkan sektor penguatkuasaan, bagi memastikan perkhidmatan awam negara kekal telus, berintegriti dan dipercayai oleh rakyat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini