comscore
Tumpuan :
Nasional

Seorang hilang, dua terselamat bot dipukul arus 

FOTO: JBPM Kinabatangan

Oleh: Safwan Sawi

KINABATANGAN: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas hilang ketika menjalankan kerja-kerja memasang kabel besi di Sungai Ulu Segama, di sini, hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Lee Boon Sin, dikatakan gagal menyelamatkan diri selepas bot yang dinaiki bersama dua rakannya hanyut dipukul arus deras.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamaluddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.04 tengah hari.

Sepasukan pegawai dan anggota terus dikerah ke lokasi kejadian yang terletak sejauh kira-kira 60 kilometer dari BBP Kinabatangan.

Menurut pemanggil, tiga orang mangsa dikatakan menaiki bot untuk memasang kabel besi, namun disebabkan arus sungai yang deras bot yang dinaiki mereka telah hanyut.

“Dua orang mangsa berjaya menyelamatkan diri manakala seorang lagi mangsa dilaporkan hanyut.

“Pasukan Bomba dalam perjalanan ke lokasi untuk mendapatkan maklumat dan menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR),”katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya sebarang maklumat lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini