Tumpuan :
Nasional

Seorang anggota tentera maut, lima lagi cedera lori tentera terbalik

Anggota tentera yang cedera diberi rawatan selepas selepas sebuah lori tentera terbabas dan terbalik di Jalan Kampung Bukit Kechik Changlun, di Jitra, hari ini.- Foto ihsan PDRM

JITRA: Seorang anggota tentera maut manakala lima lagi cedera selepas lori tentera yang membawa muatan catuan makanan terbabas dan terbalik di Jalan Kampung Bukit Kechik Changlun, di sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Cheng Chunng Tsaur berkata, Pejabat Pertanyaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu menerima panggilan pada jam 1.30 petang berkaitan kemalangan jalan raya membabitkan lori tentera terbabas sendiri.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku sewaktu pemandu tentera berusia 29 tahun yang bertugas di Kem 5 Rejimen Sempadan Bukit Kayu Hitam memandu dari arah Kem Askar Wataniah (513 AW) Kepala Batas, di sini menghala ke Markas 30 Briged di Kem Bukit Cowder di Perlis dengan membawa muatan catuan makanan.

“Sebaik sampai di lokasi kejadian, lori tentera terbabit dipercayai mengelak sebuah kereta nombor pendaftaran tidak pasti yang bergerak dari arah bertentangan.

“Disebabkan itu, lori tentera terbabit cuba mengelak ke kiri, namun disebabkan jalan raya yang sempit dan bahu jalan tidak berturap menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan dan terbabas sendiri jatuh ke bawah cerun ladang kelapa sawit yang berada di sebelah kiri jalan.

“Kemalangan itu menyebabkan lori tentera itu terjatuh dalam keadaan keempat-keempat tayar berada di atas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Cheng berkata, akibat daripada kemalangan itu, seorang anggota disahkan maut di tempat kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Forensik Hospital Jitra untuk bedah siasat.

“Mangsa lain yang turut mengalami kecederaan, seorang daripada anggota yang cedera dihantar ke Hospital Jitra manakala empat lagi mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk menerima rawatan,” katanya.

Cheng berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini