comscore
Tumpuan :
Nasional

Sentiasa semak ketulenan akaun, kandungan media sosial – Fahmi

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.- Foto fail

KANGAR: Rakyat diminta untuk sentiasa berwaspada dengan hantaran yang dimuat naik menerusi media sosial bagi mengelak menjadi mangsa penipuan atau terpedaya dengan niat jahat pihak tidak bertanggungjawab.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata setiap individu perlu mengesahkan sama ada sesuatu akaun itu dimiliki oleh individu sebenar dan sama ada kandungan yang dikongsikan itu sesuatu yang benar.

“Kita lihat ada penyalahgunaan aplikasi kecerdasan buatan (AI) untuk melakukan AI ‘deepfakes’ (imej palsu) seolah-olah (isteri Perdana Menteri) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail atau pun (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bercakap atau pun mana-mana pimpinan yang lain, atau pun juga kita punya penyanyi tersohor seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza.

“Jadi kita kena sahkan dulu akaun tu milik siapa? Betul ke akaun itu adalah akaun yang rasmi atau pun ia akaun palsu, akaun impersonator (penghibur pengajuk),” katanya.

Beliau turut mengingatkan pengguna supaya tidak mudah percaya dengan sesuatu kandungan menerusi media sosial kerana ia mungkin kandungan lama yang disebarkan semula atau yang telah disunting dan tidak menggambarkan konteks sebenar.

Fahmi berkata seringkali tersebar kandungan berbentuk video yang disunting pihak tidak bertanggungjawab yang berniat ‘menangguk di air keruh’ atau bertujuan menimbulkan syak wasangka dalam kalangan masyarakat.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini