comscore
Tumpuan :
Nasional

Seniman ‘melukiskan’ kesengsaraan Gaza tanda solidariti

Oleh: Izzatie Rizan

KUALA LUMPUR: Lelong barangan kesayangan sudah, konsert amal pun sudah.

Namun tidak setakat itu sahaja, pelbagai usaha terus dilakukan demi membantu rakyat Palestin yang kini berdepan penindasan rejim zionis.

Sebuah pameran seni diadakan dengan menghimpunkan 90 karya seniman seluruh negara menonjolkan karya masing-masing menerusi Pameran “Colour For Gaza”.

Berlangsung selama 8 hari bermula semalam, istimewanya pengunjung boleh menyaksikan karya penyanyi popular Datuk M. Nasir, selain boleh membeli sambil menderma.

Diadakan di sebuah galeri di ibu negara, pameran ini dianjurkan untuk menyampaikan mesej dan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai penderitaan rakyat Palestin.

Malah tatkala pengunjung memasuki ruang pameran, pelbagai emosi terbit melihat karya yang dipertontonkan.

Pengarah Galeri, Mohd Nizam Rahmat berkata, idea untuk menggabungkan pelbagai seniman seluruh negara tercetus dalam tempoh singkat.

Jelasnya usaha dilakukan itu dianggap sebagai ‘jihad kecil’ berjuang menentang penindasan dan kekejaman Israel bagi pihak Palestin.

“Pameran ini mencipta ruang dialog dan pemahaman antara masyarakat melalui seni dan warna sebagai medium untuk berkomunikasi.

Setiap karya seni menyampaikan pesanan dan emosi, sekali gus mencerminkan sokongan berterusan kami kepada usaha kemanusiaan Palestin,”katanya.

Mohd Nizam berkata hasil penjualan karya seni dan penajaan akan disumbangkan kepada tabung bantuan Palestin menerusi kerjasama dengan badan kemanusiaan yang akan dipilih kelak.

FOTO: Karya Datuk M. Nasir

Mengulas mengenai penglibatan Datuk M. Nasir, ujarnya dua daripada empat lukisan diserahkan seniman itu dipilih untuk dipamerkan.

“Tak sangka dalam kesibukan dia tengah bersiap sedia dengan konsert masih nak turut serta dalam pameran ini.

Selain Datuk M. Nasir, pameran ini turut disertai nama-nama hebat antaranya Abdul Mansoor Ibrahim, Tajuddin Ismail serta Ahmad Fuad Osman.

Ditampilkan menerusi karya instalasi, arca dan seni cetak, pengunjung turut disajikan dengan rakaman menyentuh hati, keadaan di Gaza beberapa hari sebelum tercetusnya serangan besar-besaran Zionis.

Pameran “Colours For Gaza” di Galeri Puteh, KL Eco City Mall berlangsung dari 14 hingga 21 November ini.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini