Oleh: Izzatie Rizan
SUBANG: Keindahan dekorasi jeli tiga dimensi yang cantik serta berwarna-warni mendorong seorang ahli perniagaan mempelajari seni pembuatan kek itu.
Kemahiran yang asalnya dipelajari suka-suka bagi mengisi aktiviti keluarga akhirnya menjadi sesi perkongsian ilmu.
Walaupun bukan bergelar pakar, hobi MK Chan 41, membawanya ke pelbagai negara, lebih istimewa ilmu pembuatan jeli 3D dicurahkan beliau secara percuma.
Bercakap kepada Buletin TV9 beliau mempelajari teknik membuat kek jeli istimewa itu menerusi YouTube.
“Bermula dari situ, saya mula tertarik dengan kek jeli 3D, jadi saya banyak menghabiskan masa melatih diri dengan menonton pelbagai video YouTube, khususnya dari China dan Vietnam kerana kek jelly ini popular di sana.”katanya.
Anak kelahiran Malaysia kini menetap di Singapura ini berkata jeli 3D semakin diminati masyarakat dan biasanya dibuat dalam bentuk kek serta kek cawan.
Pelbagai rekaan boleh dihasilkan dimana yang paling mendapat sambutan adalah corak bunga-bungaan.
“Bila saya kongsi di Facebook, kawan-kawan minta saya ajar mereka sampai saya terpaksa buka kelas sebab lepas sorang…sorang yang datang.
“Selain mampu membantu mengurangkan stress…sebenarnya aktiviti ini mengeratkan hubungan antara keluarga termasuk masyarakat.
Sebab sekarang ini sudah menjadi perkara biasa tidak mengenali jiran tetangga kerana sibuk dengan aktiviti harian selain masing-masing buat hal sendiri,”katanya.
Bahan yang digunakan untuk menghasilkan jeli 3D juga tidak banyak iaitu hanya pencucuk khas, jeli, susu dan bahan pewarna perlu dipanaskan terlebih dahulu sebelum disuntik ke dalam jeli.
Dalam pada itu, Nursyamiera Ismail, berkata, dia tertarik menyertai bengkel kendalian MK Chan setelah mendapat tahu potensi jeli berkenaan.
Meskipun bukan mudah untuk menghasilkan rekaan jeli 3D yang menarik, gadis ini berjaya mempelajarinya dengan hanya berbekalkan dua sesi.
“Nampak macam senang bila tengok orang buat, tapi sebenarnya sukar dan perlukan penilitian tapi kalau dah minat… lama-lama mesti oke,” katanya.
Di pasaran, harga kek jeli 3D bergantung kepada saiz dan rekaan yang diinginkan.
Untuk itu tidak hairan permintaan terhadap jeli 3D semakin meningkat terutamanya ketika musim cuti persekolahan kerana banyak majlis perkahwinan dan kenduri diadakan.