Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Sengsara beratur awal pagi, belum tentu dapat nombor giliran

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

SHAH ALAM: Sesak semata-mata mahu mendapatkan nombor giliran di kaunter imigresen.

Keluhan itu disuarakan pihak berkaitan setelah keadaan semasa memperlihatkan kesulitan ratusan orang yang beratur dari tengah malam hingga ke awal pagi, bagi menguruskan hal berkaitan pas pekerja warga asing di Jabatan Imigresen (JIM) Negeri Selangor.

Seawal jam 4.30 pagi, krew Aduan Rakyat tiba di luar kompleks bangunan PKNS Shah Alam, untuk meninjau sendiri situasi yang dimaksudkan.

Orang ramai beratur di luar bangunan, kira-kira 100 meter dari pintu masuk, walaupun kaunter JIM dibuka jam lapan pagi.

Ini ‘rutin’ yang didakwa terpaksa ditempuhi pada Isnin hingga Jumaat oleh golongan yang menguruskan pekerja asing termasuk pihak majikan, ejen dan pengurusan sumber manusia syarikat.

Seorang pengunjung yang hanya mahu dikenali Bad,43, berkata, jika kurang bernasib baik, mereka tidak akan mendapat nombor giliran walaupun beratur seawal jam 4 pagi.

“Orang kalau datang awal sekali pun belum tentu ada nombor, contoh saya bangun jam 3.30 pagi datang sini, daripada rumah jam 4 dan sampai di sini jam 4.20 pagi , masih belum tentu lagi ada nombor, “ katanya ketika ditemui.

Buletin TV3 sekali lagi melakukan tinjauan pada hari berlainan dan mendapati barisan dipindahkan ke bahagian hentian bas, kira kira  50 meter dari pintu masuk.

Jelas pengunjung, mereka perlu berada jauh daripada bangunan sebagai langkah berjaga-jaga, gara-gara kekecohan sebelum ini yang berpunca daripada pihak yang cuba memotong barisan.

Pengurus sumber manusia syarikat yang hanya mahu dikenali sebagai Jaja,27, berkata dia mula menunggu jam 10 malam kerana sudah ‘lelah’ berulang alik menyelesaikan urusan.

“Pada minggu lepas saya dah tiga kali datang tetapi tidak dapat nombor, saya mula datang jam  5.30 pagi tiada nombor, hari lain datang semula jam 3.40 pagi juga tidak dapat nombor sebab jam 7 lebih nombor sudah habis,” jelasnya.

Bagi pengunjung Amran Sulaiman,56, berkata persekitaran yang kotor juga mengundang ketidakselesaan pengunjung yang hadir.

“Kalau beratur di tepi tu kotor, kita tidak tahu ada anjing duduk atau apa-apa, orang baring disini daripada pagi tadi, tak kesian? Mereka bukan pengemis,” ujarnya.

Sebaik jam 6.55 pagi, pengunjung perlu berpindah pula ke bahagian dalam bangunan untuk beratur di barisan ditetapkan yan dibahagikan kepada urusan Visa, Pas dan Permit masuk,  RTK (Program Rekalibrasi) serta Pekerja Asing.

Tepat jam 7.30 pagi , pegawai Imigresen mengedar nombor giliran dengan bantuan petugas Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) agar proses pembahagian lancar sebelum masuk ke kaunter urusan.

Dakwa mereka meskipun urusan JIM boleh dilakukan secara dalam talian, namun didakwa menyulitkan kerana jika bermasalah, mereka masih perlu hadir secara fizikal ke kaunter.

JIM juga digesa memperluas kaunter urusan bahagian pekerja asing ke cawangan lain bagi mengurangkan kesesakan yang berlaku, selain menyarankan agar tempahan tarikh janji temu.

Buletin TV3 cuba mendapatkan penjelasan Jabatan Imigresen Negeri Selangor namun dimaklumkan mereka akan memberi maklum balas dalam tempoh terdekat.

Loading...
Terkini