Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Senator wakili Orang Asli akan dilantik dari pemimpin belia

 

 

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

BANGI: Ahli Dewan Negara yang dilantik menjadi Senator bagi mewakili Orang Asli akan dipilih daripada golongan belia kumpulan itu pada masa akan datang.

Komitmen itu diberikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Karnival Belia Orang Asli Rentas Desa Sejahtera (K-BOARDS 2.0) di sini hari ini.

Foto NSTP Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bergambar selepas Majlis Perasmian Program Karnival Belia Orang Asli (K-BOARDS) 2.0 yang diadakan di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi.

Ahmad Zahid berkata, cadangan yang disuarakan wakil belia Orang Asli, Clive Allen Williams Hunt ketika program itu dipersetujuinya.

“Allen meminta Senator Orang Asli daripada wakil belia. Senator Orang Asli baru sahaja lantik. Insya-Allah akan datang kita lantik dalam kalangan pemimpin belia Orang Asli,” katanya yang disambut tepukan gemuruh kira-kira 600 peserta karnival.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut meluluskan serta merta satu lagi permintaan Allen iaitu peruntukan RM200,000 untuk Majlis Belia Orang Asli.

Katanya, peruntukan itu adalah daripada Pejabat Timbalan Perdana Menteri sendiri dan tidak mengambil peruntukan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) atau Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

“Bukan itu sahaja, saya yakin Ketua Pengarah JAKOA, Sapiah Mohd Nor akan berikan peruntukan RM200,000 juga dalam bentuk peralatan dan barangan. Allen minta RM200,000 dapat RM400,000, ertinya Allen dapat kepercayaan daripada KKDW dan JAKOA,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, kelulusan peruntukan yang diberikan itu bukan percuma, namun meminta Allen dan pemimpin belia merealisasikan sasaran Sapiah supaya sejumlah 300 Orang Asli wajib melanjutkan pengajian di institut pengajian tinggi awam (IPTA) tahun ini.

Selain itu, Ahli Parlimen Bagan Datuk tersebut mahu 800 belia masyarakat berkenaan memasuki kolej dan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) pada tahun ini berbanding 780 orang tahun lalu.

Beliau juga berhasrat kemajuan dalam kalangan belia Orang Asli ditingkatkan dari segi ekonomi, keusahawanan dan diberi peluang sama rata serta lebih banyak untuk mengikuti kursus profesional, selain memasuki universiti tempatan atau luar negara.

“Dengan peruntukan JAKOA daripada kerajaan sebanyak RM320 juta yang telah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu (dalam Belanjawan 2023), saya harap kemajuan dalam kalangan belia Orang Asli ditingkatkan,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Zahid dan Timbalannya, Datuk Rubiah Wang komited untuk memperkasakan dan meningkatkan kehidupan masyarakat itu.

“Selagi kami berada di kementerian, kami bersama Ketua Setiausaha, Timbalan Ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah JAKOA akan naikkan taraf dan status sosial Orang Asli di seluruh negara. Itu azam kami,” katanya.

Loading...
Terkini