comscore
Tumpuan :
Nasional

Senarai jemaah menteri masih jadi tanda tanya

Foto hiasan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Ramalan bahawa pengumuman Kabinet Kerajaan Perpaduan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari ini selepas tujuh hari mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-10 berkemungkinan tersasar.

Ini kerana sehingga jam 5 petang, organisasi media tempatan dan antarabangsa termasuk media cetak, elektronik dan media digital tidak menerima sebarang jemputan bagi menghadiri sidang media daripada Perdana Menteri berhubung perkara berkenaan.

Selain itu, stesen televisyen yang lazimnya menyiarkan secara langsung pengumuman penting atau perutusan khas Perdana Menteri juga tidak menerima apa-apa isyarat bagi melakukan persiapan untuk berbuat demikian setakat ini.

Desas-desus bahawa Kabinet baharu bakal diumumkan dalam masa terdekat mulai bertiup susulan hantaran melalui akaun Facebook Istana Negara kelmarin, berserta empat keping foto yang memaparkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerima menghadap Perdana Menteri.

Sementara itu, pengumuman barisan jemaah menteri juga tidak mungkin dilakukan pagi esok kerana berdasarkan jadual yang dikongsikan oleh Pejabat Perdana Menteri, Pengerusi Pakatan Harapan itu yang juga Ahli Parlimen Tambun akan mengadakan lawatan ke Perak dari jam 10 pagi esok.

Program Perdana Menteri dimulakan dengan Majlis Menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta, disusuli sesi ramah mesra di pasar Tanjung Rambutan.

Beliau kemudiannya dijadualkan melawat tapak Klinik Kesihatan Manjoi sebelum menghadiri solat Jumaat dan kenduri rakyat di Masjid Muhammad Al-Fateh, Ipoh.

Bagaimanapun, difahamkan, Datuk Seri Anwar akan kembali semula ke Putrajaya selepas selesai lawatan ke Perak dan ini sekali lagi membuka ruang spekulasi bahawa pengumuman mungkin diadakan petang esok dengan istiadat angkat sumpah jawatan berlangsung pagi Sabtu.

Selain itu, menerusi jemputan media yang dikeluarkan Istana Negara pula, Yang di-Pertuan Agong berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat dan majlis pengurniaan bot serta sumbangan kepada asnaf di Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan Pahang jam 12.30 tengah hari esok.

Selain teka teki bila Perdana Menteri akan mengumumkan Kabinetnya, turut menjadi perhatian dan penantian seluruh rakyat adalah bilangan menteri serta timbalan menteri yang akan dilantik menerajui pelbagai kementerian di bawah Kerajaan Perpaduan.

Jumaat lalu, pada sidang media pertamanya selepas memulakan tugas secara rasmi di Pejabat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar memaklumkan bahawa Kerajaan Perpaduan yang diterajuinya akan memiliki saiz Kabinet yang lebih kecil, dipercayai memiliki dua timbalan perdana menteri dalam senarai 25 ahli.

Beliau turut dilaporkan berkata, akan mengusulkan supaya gaji menteri dalam Kabinetnya nanti dikurangkan susulan perkembangan situasi ekonomi kini.

Terdahulu, media melaporkan, Datuk Seri Anwar belum mengumumkan barisan kabinetnya, dipercayai kerana masih berbincang dengan parti-parti yang membentuk kerajaan perpaduan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menjadi Perdana Menteri ke-7 mengumumkan senarai penuh barisan Kabinet lapan hari selepas mengangkat sumpah mengetuai kerajaan.

Bagaimanapun, Tun Dr. Mahathir terlebih dahulu mengumumkan tiga jawatan kementerian yang paling kanan dua hari selepas mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri pada 10 Mei 2018.

Tan Sri Muhyiddin Yassin juga mengumumkan senarai Kabinet pimpinannya selepas lapan hari dilantik Perdana Menteri ke-8 pada 1 Mac 2020 ekoran peletakan jawatan Tun Dr. Mahathir pada 24 Februari 2020.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula mengambil tempoh enam hari selepas dilantik Perdana Menteri ke-9 pada 21 Ogos 2021 untuk membentuk pasukan Kabinet beliau.

Loading...
Terkini