Tumpuan :
Bencana

Semua projek tebatan banjir Johor ikut jadual – Nik Nazmi

FOTO : NSTP

KUALA LUMPUR: Tiada sebarang kelewatan dalam pelaksanaan projek tebatan banjir di Johor, susulan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membatalkan beberapa kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion, baru-baru ini.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata terdapat 15 projek tebatan di Johor, dengan kos RM1.49 bilion, membabitkan projek baharu dan sambungan.

“Tiada projek terlewat disebabkan keputusan Perdana Menteri. Semua berlangsung mengikut jadual ditetapkan, cuma kalau ada isu yang disebut Perdana Menteri, ia adalah soal proses perolehan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan usul tergempar mengenai bencana banjir di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada 6 Disember tahun lalu, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan mengarahkan beberapa kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion, yang membabitkan kelulusan secara rundingan terus, tidak diteruskan.

Katanya, pegawai kementerian itu sudah diminta untuk meneliti semula kelulusan yang diberikan bagi memastikan ia mematuhi prinsip ketelusan dan peraturan yang ditetapkan.

Sementara itu, susulan hujan lebat berterusan di kawasan tadahan membabitkan beberapa empangan di Johor, Nik Nazmi memaklumkan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melepaskan air empangan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam Manual Penyelenggaraan Operasi bagi setiap empangan, mengambil kira ramalan hujan lebat yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi (METMalaysia).

Bagaimanapun katanya, taburan hujan yang luar biasa dari 28 Februari hingga 3 Mac lalu di Johor, iaitu sebanyak 548 milimeter (mm), melebihi purata hujan bulanan jangka panjang bagi Mac untuk negeri itu, iaitu 195 mm sebulan, menyebabkan kenaikan aras air yang mendadak.

“Pintu air terpaksa dibuka untuk menurunkan aras air empangan. Jika tidak dibuat sedemikian, ia akan memberi impak kepada kekuatan empangan.

“Sebagai contoh, di kebanyakan negeri, jika Monsun Timur Laut berlaku, air empangan akan diberikan maksimum sehingga 80 peratus daripada kapasiti empangan berkenaan.

“Sekiranya perlu lepas, maka mereka terpaksa lepaskan air empangan sebab ia perlu seimbang antara tujuan bekalan air dan mencegah banjir,” katanya.

Beliau memaklumkan, JPS juga mengeluarkan siren amaran di empangan terbabit pada 1 Mac lalu dan Pusat Kawalan Operasi Bencana Batu Pahat sudah dimaklumkan.

“Ia dilakukan dalam bentuk konvensional, iaitu dengan siren. JPS sedang menaik taraf untuk meletakkan kamera litar tertutup (CCTV) dan amaran berbentuk suara yang akan memberi peringatan untuk orang ramai berpindah.

“Sehingga 5 Mac lalu, JPS menempatkan 38 unit pam bergerak bagi mempercepat aliran air banjir dan tambahan enam unit pam bergerak dipasang pada 6 Mac di kawasan kritikal banjir di Pontian dan Mersing,” katanya.

Loading...
Terkini