KUALA LUMPUR: Semua pihak diminta akur dan menerima keputusan Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam yang memutuskan ajaran dan fahaman yang dipegang Global Ikhwan Services and Business Holdings, (GISBH) menyeleweng dan sesat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata keputusan berkenaan telah dicapai menerusi hasil penyelidikan yang terperinci daripada pelabagai aspek.
“Perkara itu telah dinyatakan oleh pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI Datuk Dr Noob Gadut dalam kenyataan 13 November 2024 yang menjelaskan keputusan itu menerusi Muzakarah kali ke-125 yang bersidang daripada 24 hingga 26 september lalu.
“Keputusan tersebut telah dicapai adalah berpandukan kajian dan penyelidikan yang terperinci daripada pelbagai aspek,” ujarnya ketika dihubungi Buletin TV3.
Menurut Na’im, pihak berkuasa agama Islam negeri dipohon untuk pertimbangkan keputusan berkenaan bagi tujuan pewartaan fatwa di negeri masing-masing.
“Semua pihak juga diminta untuk sentiasa membuat rujukan kepada pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri dalam apa jua perkara berkaitan akidah. Janganlah terlampau taksub kepada mana-mana pihak sehingga boleh memberi kesan kepada akidah dan syariah,” tegasnya.
Pada masa sama, beliau menjelaskan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui agensi berkaitan akan terus memberi usaha penerangan untuk memperkukuh fahaman akidah umat Islam dan akan akan menjalinkan kerjasama strategik bersama pihak berkuasa agama Islam di setiap negeri.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.