NILAI: Kerajaan Negeri Sembilan memberikan tempoh sehingga hujung tahun ini, supaya semua kediaman pekerja asing mendapatkan kelulusan Pusat Penempatan Pekerja Asing atau Centralised Labour Quarter (CLQ).
Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J Arul Kumar berkata, kerajaan negeri tidak lagi membenarkan penempatan pekerja warga asing di kawasan berstatus kediaman.
“Kerajaan negeri membuat keputusan bahawa tidak lagi membenarkan pekerja warga asing ditempatkan di mana-mana kawasan berstatus kediaman dan diberikan tempoh sehingga hujung tahun ini.
“Sehingga tempoh itu, semua kediaman yang dijadikan sebagai kediaman pekerja asing akan dibuat pemutihan untuk membolehkan tempat penginapan terbabit mendapatkan Perakuan Penginapan dari Jabatan Tenaga Kerja (JTK),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, sebelum tempoh itu tamat, semua pekerja asing yang ditempatkan di kawasan berstatus kediaman perlu dipindahkan ke kawasan komersial atau CLQ.
“Oleh itu, pembinaan atau pertukaran secara keseluruhan sesuatu bangunan kepada CLQ mengikut syarat yang ditetapkan adalah digalakkan oleh kerajaan negeri.
“CLQ ini mestilah suatu kawasan yang berpagar dan dapat dikawal serta mempunyai semua kemudahan asas kepada pekerja warga asing.
“Dengan pelaksanaan tindakan ini isu yang berpunca daripada pekerja warga asing di kawasan perumahan seperti gangguan dan kebersihan dapat diselesaikan,” katanya.
Tambah beliau, CLQ juga perlu mematuhi semua syarat yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan JTK.
“Ini juga akan menjamin hak setiap pekerja warga asing dalam mendapatkan tempat tinggal yang selesa dan selamat.
“Kerajaan negeri juga akan cuba untuk membantu dalam pelbagai aspek dalam mewujudkan CLQ di Negeri Sembilan bagi menampung keperluan tempat penginapan pekerja warga asing,” katanya.
Terdahulu J Arul membuat lawatan di CLQ Lodge Residence di Bandar Baru Nilai, di sini, yang mempunyai hampir 1000 unit bilik dan boleh menempatkan 3,500 pekerja.
“Lawatan ini bertujuan untuk melihat beberapa masalah dan cabaran dalam mendapatkan kelulusan pihak berkuasa tempatan sebagai CLQ,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.