PUTRAJAYA: Semua masjid bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diminta melakukan solat jenazah ghaib ke atas pemimpin Hamas, Allahyarham Ismail Haniyeh yang terbunuh dalam serangan di Iran.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata perincian mengenai perkara itu akan dibuat oleh JAKIM dan JAWI.
“Saya sudah meminta kerjasama masjid bawah seliaan JAKIM, iaitu Masjid Negara di Kuala Lumpur serta Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya untuk melaksanakan solat jenazah ghaib ke atas Almarhum Ismail Haniyeh.
“Pada masa sama, masjid dan surau bawah pentadbiran JAWI juga diminta melaksanakan perkara sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan kumpulan Hamas dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Allahyarham terbunuh dalam serangan di Tehran, hari ini.
Katanya, kumpulan pejuang Islam itu berkabung atas kematian pemimpin terbabit yang dikatakan terbunuh dalam ‘serangan khianat Zionis ke atas kediamannya di Tehran’.
Haniyeh dilaporkan berada di Tehran untuk menghadiri majlis angkat sumpah Presiden baharu Iran, Masoud Pezeshkian, semalam.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, beliau mewakili seluruh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menzahirkan perasaan amat dukacita atas kematian Haniyeh.
“Sesungguhnya Almarhum adalah seorang pemimpin rakyat Palestin yang memberikan sumbangan bakti dan jasa kepada tindakan serta usaha mempertahankan tanah Palestin dan juga hak-hak rakyat Palestin yang ditindas selama ini. Semoga segala baktinya dicatat sebagai amalan soleh di sisi Allah SWT,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.