Oleh: Safwan Sawi
KOTA KINABALU: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir di Dewan Pusat Kebudayaan Sabah di Penampang ditutup sepenuhnya petang tadi selepas semua mangsa dibenarkan pulang.
Ia adalah PPS terakhir yang ditutup selepas tiga PPS iaitu Dewan Sri Putatan di Putatan, Balai Raya Kampung Tutu Selupoh di Tuaran dan Balai Raya Kampung Bontoi di Tamparuli ditutup jam 4 petang tadi.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, pada jam 4 petang tadi, ada seramai 272 mangsa terakhir daripada 90 keluarga masih berada di PPS Dewan Kebudayaan Sabah, Penampang.
“PPS Dewan Kebudayaan Penampang ditutup sepenuhnya pada jam 5 petang ini selepas semua 272 mangsa terakhir yang berada di PPS itu dibenarkan pulang,” menurut kenyataan itu.
Secara keseluruhan, empat PPS yang dibuka berikutan banjir sejak petang Ahad lalu menempatkan seramai 503 mangsa banjir daripada 145 keluarga.
Bagaimanapun, beberapa mangsa ada yang dibenarkan kembali ke kediaman masing-masing sejak semalam selepas situasi banjir di kawasan mereka disahkan pulih.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa