comscore
Tumpuan :
Nasional

Semua lesen perniagaan milik GISBH di Terengganu akan dibatalkan

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu akan membatalkan lesen perniagaan milik Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings yang beroperasi di negeri itu selepas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) membuat keputusan organisasi itu mengandungi unsur ajaran sesat.

Menurut Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, ketika ini Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak dapat membatalkan atau mengantung lesen organisasi itu.

Justeru, Kerajaan Negeri menyerahkan semuanya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan terhadap organisasi tersebut.

“Kami tak buat keputusan lagi, sekarang ini dalam tempoh pendakwaan dan kita kena teliti dengan lebih lanjut sebab kerajaan negeri pun PBT kalau ambil langkah yang tak sesuai kita boleh kena saman pula.

“Jadi kita kena ikut langkah peraturan dan sebagainya, maknanya PBT akan mengambil kira pewartaaan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri perjumpaaan bersama Mahasiswa Anak Terengganu, di Pulau Duyong.

Jelas beliau lagi, Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) akan dibuat dalam masa terdekat di Terengganu, Oktober ini.

“Di Terengganu, kes membabitkan GISB tidak sekronik di tempat lain dan kesannya di sini sangat minimal,” ujarnya.

Premis perniagaan dipercayai milik Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings di Terengganu ini telah ditutup sejak Jumaat lalu.

Premis itu membabitkan restoran di Jalan Sultan Zainal Abidin serta sebuah kedai bakeri di Wisma Khaleeda, Jalan Tengku Mohamad dekat Gong Badak, Kuala Nerus.

Terbaharu, ladang kuda milik Ikhwan Equestrian di Batu Rakit, turut ditutup.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini