Tumpuan :
Nasional

Semua kementerian diminta beri tumpuan jayakan Tahun Melawat Malaysia 2026 – PM

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melancarkan Tahun Melawat Malaysia 2026 di Sepang. Turut kelihatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. – NSTP

Oleh: Siti Khadijah Jaafar & Zaid Shah Zulkarnain

SEPANG: Semua kementerian diminta memberi tumpuan sepenuhnya dalam meningkatkan keupayaan sektor pelancongan, pelaburan dan ekonomi sempena penganjuran Tahun Melawat Malaysia (TMM 2026).

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan pentingnya penglibatan semua negeri tanpa ada yang terpinggir dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama. Usaha ini disasarkan untuk meraih keuntungan RM147.1 bilion dengan ketibaan 35.7 juta pelancong.

“TMM 2026 adalah satu pendekatan baharu dalam menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang utama dan ini bermulanya satu inisiatif, ikhtiar supaya betul-betul mencatat pertumbuhan pelancongan ke seluruh negara.

“Saya minta semua kementerian memberikan tumpuan supaya Malaysia dapat meningkatkan keupayaan bidang pelancongan dan tentunya pelaburan serta ekonomi supaya tidak ada kawasan atau negeri yang tersisih dan tertinggal,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa majlis peluncuran Kempen TMM 2026 di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, serta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Kata Anwar, sasaran kehadiran 35.6 juta pelancongan yang bakal menjana pendapatan RM147.1 bilion itu juga  disifatkan sebagai pragmatik dan realistik.

Ini kerana pencapaian unjuran tersebut secara tidak langsung akan memberikan manfaat besar kepada pelbagai sektor di negara ini, termasuk pelancongan, makanan dan minuman, serta industri berkaitan.

“Matlamat utama kita jelas iaitu mempromosikan pelancongan yang lestari kepada alam sekitar dan komuniti. Pelancongan ini bertindak sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi sambil menyediakan pengalaman yang bermakna dan tidak dapat dilupakan kepada pelawat.

“Malaysia bukan sekadar destinasi biasa tetapi destinasi yang unik, mesra alam dan diperkaya dengan keunikan rakyatnya yang berbilang budaya dan bangsa,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini