Tumpuan :
Nasional

Semua kementerian diarah laksana kempen kurangkan gula-PM 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meninjau reruai dan beramah mesra bersama usahawan pada perasmian Karnival Usahawan Desa di Anjung Floria. – FOTO: NSTP

PUTRAJAYA: Semua kementerian dan agensi kerajaan diarah melaksanakan kempen kurangkan gula berikutan Malaysia kini merekodkan bilangan penghidap diabetes paling tinggi di Asia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Malaysia sepatutnya menjadi negara sihat kerana Islam menekankan keperluan penjagaan kesihatan tetapi keadaan sekarang adalah sebaliknya.

“Laporan menyatakan Malaysia paling tinggi mempunyai penghidap kencing manis atau diabetes di Asia dan perkara berkaitan kesihatan bukan lagi peranan sepenuhnya Kementerian Kesihatan.

“Saya juga mahu semua kementerian termasuk Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Timbalan Menteri dan Ketua Setiausaha supaya melaksanakan kempen kurangkan manisan gula.

“Kalau tidak saya akan rasa kesal, Malaysia negara yang terkenal Islam dan dakwah, tetapi paling ramai menghidap kencing manis,” katanya ketika merasmikan Karnival Usahawan Desa (KUD)@ Putrajaya di Anjung Floria di sini, hari ini.

Anwar berkata, ketika beliau dihidangkan teh tarik, minuman itu dirasakan manis.

“Saya mahu semua kementerian melaksanakan kempen kurangkan manis. Misalnya tadi, teh tarik saya manis, mereka (katering) nak jaga PM (Perdana Menteri) atau nak bagi dia kencing manis,” katanya.

Beliau berkata, rakyat negara ini ramai berpenyakit kerana mengambil gula secara berlebihan dalam makanan dan minuman.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan kerajaan akan memberi beberapa keutamaan pada tahun depan dan masa untuk melaksanakan program yang tertangguh puluhan tahun termasuk penyelarasan subsidi.

“Apabila kita kata kita akan tarik subsidi riuh rendah orang persoal langkah itu akan menyebabkan kenaikan harga, rupanya harga ayam lebih terkawal daripada dulu.

“Tetapi andai kata harga naik, kita tidak akan tukar dasar pelaksanaan subsidi tetapi kita boleh berikan STR (suntikan dana langsung kepada mereka terbabit), misalnya kalau dia kata dia rugi RM30 atau RM50 sebulan disebabkan subsidi ayam, kita beri tambahan dana, itu pendekatan (penyelarasan subsidi) yang kita ambil, supaya harga tidak naik,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini