comscore
Tumpuan :
Bencana

Semua empat PPS di Perak ditutup

Oleh Shaharil Kadir

TAIPING: Semua empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Daerah Larut, Matang, Selama di Perak, yang dibuka semalam ekoran kejadian banjir kilat telah ditutup sepenuhnya petang tadi.

 

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Larut, Matang, Selama, Mohd Nasrul Menhat, cuaca baik sepanjang hari membolehkan semua 179 mangsa yang terjejas kembali semula ke kediaman masing-masing.

PPS di Sekolah Kebangsaan Simpang, di Kuala Sepetang yang menempatkan 42 mangsa dari 11 keluarga terjejas telah ditutup pada jam 12.10 tengahari.

Manakala PPS di Sekolah Bukit Jana, Kamunting yang menampung 79 mangsa dari Kampung Sungai Relong dan Kampung Baru Batu 5 ditutup pada jam 1.20 tengahari.

Ini disusuli penutupan PPS di Dewan Orang Ramai Simpang Halt yang sebelumnya menempatkan 46 mangsa dari 12 keluarga pada jam 5 petang.

Pada jam 5.50 petang, PPS terakhir di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Baru, Mukim Sungai Tinggi yang menampung 12 mangsa ditutup sepenuhnya.

Semalam, hujan lebat yang berterusan lebih dua jam mengakibatkan beberapa kawasan rendah di daerah berkenaan dinaiki air hampir satu meter, menyebabkan penduduk terjejas terpaksa dipindahkan.

Loading...
Terkini