Tumpuan :
Nasional

Semua bangunan kerajaan perlu pasang panel solar 

Datuk Rais Yasin ditemui media selepas merasmikan Malam Anugerah Hijau Negeri Melaka 2022 anjuran Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) di Melaka.

Oleh Baharuddin Mohamed 

MELAKA: Semua bangunan milik kerajaan sewajarnya dipasang panel solar bagi tujuan penjimatan tenaga elektrik.

Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, pemasangan panel solar mampu membantu meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga solar di negeri itu yang baru mencapai 69.8 Megawatt (MW).

“Bangunan bukan milik kerajaan negeri pula perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak persekutuan atau kementerian, ini menjadikan pemasangan sistem itu lambat.

“Tetapi di Melaka kita sudah mulakannya contohnya bangunan boling dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) jadi kita mesti perkasakan lagi insiatif ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Malam Anugerah Hijau Negeri Melaka 2022 anjuran Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) di sini, malam tadi.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PTHM Datuk Wira Dr. Abu Bakar Md Diah; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman dan Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri, Khairuladha Ab Mutalib.

Datuk Rais berkata, sistem itu juga amat sesuai dipasang di masjid, sekali gus membantu institusi itu menikmati penjimatan perbelanjaan utiliti.

“Insya-Allah kita akan bekerjasama dengan PTHM, mencari cara bagaimana untuk memastikan inisiatif hijau ini berjaya diperluaskan,” katanya.

Sementara itu, pada majlis anugerah berkenaan, Inisiatif Universiti Teknikal Malaysia Melaka, UTEM merangkul dua Pingat Emas bagi kategori Anugerah Pembudayaan Hijau dan Anugerah Inovasi Hijau.

Hospital Jasin memenangi Pingat Emas bagi kategori Anugerah Projek Hijau manakala Majlis Perbandaran Jasin turut memenangi pingat sama bagi kategori Anugerah Program Komuniti Hijau.

Loading...
Terkini