KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman menolak dakwaan pasukan Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 tidak dibekalkan dengan kit pertolongan cemas individu (IFAK).
“Semua anggota kita dibekalkan dengan IFAK,” katanya kepada New Straits Times.
Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) dalam kenyataan berkata, konvoi membawa pasukan pengaman yang baru tiba di selatan Lubnan tercedera dalam serangan dron yang berlaku berhampiran.
“Lima anggota pengaman cedera ringan dan dirawat oleh Palang Merah Lubnan di tempat kejadian.
“Tentera Lubnan turut mengesahkan tiga tenteranya di pusat pemeriksaan berhampiran cedera,” katanya.
UNIFIL turut mengingatkan semua pihak supaya tidak meletakkan pasukan pengaman dan orang awam dalam keadaan bahaya.
“Perbezaan harus diselesaikan di meja rundingan, bukan melalui keganasan,” katanya.
Atur gerak pasukan MALBATT 850-12 yang membabitkan kekuatan 854 pegawai dan anggota termasuk pasukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan seorang pegawai awam dilaksanakan secara berperingkat bermula 6 sehingga 18 November.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.