Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
KAJANG: Semua anggota kabinet yang bakal dilantik tidak lama lagi, diingatkan supaya tidak menggunakan wang kerajaan terutama untuk kerja baik pulih pejabat masing-masing.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mereka juga diingatkan untuk tidak menggunakan peruntukkan kerajaan bagi kemudahan peribadi sebaliknya perlu mengutamakan langkah mengatasi lonjakan kos sara hidup yang dihadapi rakyat ketika ini.
“Kalau boleh jimat, RM100, RM1,000 atau RM10,000 boleh dipulangkan kepada rakyat yang susah.
“Jadi saya mulakan dengan perkara itu selain daripada tidak mengambil gaji, dan yang paling penting jangan membazir.
“Kerana daripada dahulu lagi, setiap menteri yang berpindah atau ditukarkan ke kementerian lain akan guna RM300,000 hingga RM500,000 untuk membaik pulih pejabat,” katanya selepas menunaikan solat hajat dan kenduri kesyukuran di Masjid Ashabus Solihin, Kajang di sini tadi.
Tegasnya, arahan itu antara mesej kepada semua pemimpin termasuk ketua jabatan untuk memulakan budaya baharu di bawah kepimpinan beliau.