KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang berhasrat untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut Aidilfitri digalakkan untuk menjalankan ujian kendiri COVID-19.
Perkara itu dinyatakan menerusi ciapan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menerusi akaun Twitter @WHOMalaysia yang turut ditweet semula oleh Twitter rasmi Kementerian Kesihatan @KKMPutrajaya.
Selain itu, pertubuhan itu juga menasihatkan orang ramai melakukan sanitasi tangan dan memakai pelitup muka sebagai perlindungan bagi membendung wabak COVID-19 daripada merebak kepada warga emas.
Terdahulu, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja mengumumkan umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidilfitri pada Sabtu ini.
Jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital KKM bagi setiap 100,000 penduduk dilaporkan meningkat 26.2 peratus pada minggu epidemiologi ke-15 dari 9 hingga 15 April berbanding minggu sebelumnya.
Dalam satu kenyataan baru-baru ini, KKM memaklumkan kebanyakan pesakit adalah kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas dan individu yang mempunyai komorbiditi.