comscore
Tumpuan :
Nasional

Sempadan Selangor-Kuala Lumpur dimuktamadkan menjelang 2025 

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, hari ini. – FOTO: NSTP

SHAH ALAM: Persempadanan Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dijangka dimuktamadkan menjelang 2025.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, usaha berkenaan sangat penting agar tidak berlaku pertindanan, kawasan tanah yang tidak dipedulikan atau kawasan yang tidak mempunyai pembahagian jelas.

Setakat ini, katanya, ada 19 lokaliti yang dibincangkan termasuk di Gombak, Ampang serta Hulu Langat dan perbincangan masih diteruskan bagi melihat lokaliti lain.

“Sudah pasti ia perlu (muktamad sempadan) kerana membabitkan kutipan cukai (Selangor dan Kuala Lumpur) ada kadar masing-masing, cukai tanah, cukai pintu. Begitu juga penguatkuasaan, penyelenggaraan dan utiliti.

“Sempadan ini perlu, kalau tidak peta tidak tepat. Jadi kita hendak tetapkan dalam peta kawasan nanti. Ia perlu ditentusahkan dari segi sempadannya.

“Apatah lagi sekarang (Selangor dan Kuala Lumpur) sudah bercantum kedua-duanya. Lihat Cheras, Cheras Kuala Lumpur ke Cheras Kajang, ada yang keliru,” katanya pada sidang media di Lobi Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah (SUK), hari ini.

Terdahulu,  Datuk Seri Amirudin mengadakan pertemuan bersama Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa dan ia turut dihadiri agensi negeri masing-masing yang membincangkan mengenai persempadanan kedua-dua negeri itu.

Katanya, sebelum dimuktamadkan terdapat beberapa perkara perlu dilihat memandangkan persempadanan Kuala Lumpur dengan Selangor ini agak rumit.

“Ini kerana ia membabitkan premis dan kawasan yang sudah tepu bina berbanding kawasan hutan dan pertanian yang pernah ditandatangani bersama Pahang dan Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau menjelaskan perjanjian lama seperti Perjanjian Penyerahan Kuala Lumpur dan Putrajaya kepada Kerajaan Persekutuan dan beberapa perjanjian lain akan dijadikan panduan bagi persempadanan ini.

“Sebelum ini, kita tandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) berhubung persempadanan ini.

“Sebelum MoU ketiga ditandatangani, kita akan bawa (isu persempadanan) kepada Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MKNS) dan dipersembahkan kepada Sultan Selangor bagi pihak negeri Selangor,” katanya.

Bagaimanapun  Datuk Seri Amirudin berkata, persempadanan itu tidak ada kaitan dengan kawasan pilihan raya..

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini