KUANTAN: Tular satu video kemalangan membabitkan seorang penunggang wanita dan kanak-kanak lelaki yang menunggang motosikal terbabit dalam kemalangan dengan sebuah bas di hadapan sebuah pasar raya di Jalan Kuantan-Pekan, di sini, hari ini.
Video berdurasi 36 saat itu menyaksikan penunggang dan pembonceng tercampak selepas dilanggar sebuah kenderaan dari arah belakang.
Susulan kemalangan itu, ramai netizen mendoakan agar mangsa terutama kanak-kanak terbabit tidak mengalami kecederaan serius.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata berdasarkan laporan, kemalangan itu membabitkan dua kenderaan iaitu sebuah motosikal dan bas pada jam 12.50 tengah hari.
Tular satu video kemalangan membabitkan seorang penunggang wanita dan kanak-kanak lelaki yang menunggang motosikal terbabit dalam kemalangan dengan sebuah bas di hadapan sebuah pasar raya di Jalan Kuantan-Pekan, hari ini. pic.twitter.com/x2IlIspfdC
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) January 8, 2024
Katanya, motosikal itu ditunggang seorang wanita berusia 43 tahun bersama anak lelakinya berusia lima tahun.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila bas yang dipandu seorang lelaki berusia 41 tahun tanpa penumpang itu sedang bergerak dari arah Terengganu menghala Johor.
Apabila sampai di lokasi kejadian, ketika kenderaan itu bergerak lurus di lorong kanan, tiba-tiba datang motosikal keluar dari simpang sebelah kiri terus mengubah ke lorong kanan laluan bas itu.
Pemandu bas cuba mengelak namun kerana jarak yang terlalu dekat, bas itu melanggar motosikal terbabit.
Akibat dari kemalangan itu, dua beranak berkenaan mengalami kecederaan dan dibawa oleh jentera pasukan penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, JBPM ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, HTAA untuk menerima rawatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.