comscore
Tumpuan :
Nasional

“Semoga Belanjawan 2025 dapat mensejahterakan seluruh rakyat” – Khutbah Jumaat

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: “Semoga Belanjawan 2025 yang dibentangkan dapat mensejahterakan seluruh rakyat.”

Demikian inti pati khutbah Jumaat disampaikan Imam Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Mohd Zikri Zainal yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelang pembentangan Belanjawan 2025 hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan dijadual membentangkan Belanjawan 2025 di Parlimen pada jam 4 petang ini bertemakan ‘Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera”.

Pada masa sama, Mohd Zikri menyeru jemaah supaya berdoa agar segala perancangan yang diatur pemimpin negara sentiasa mendapat keberkatan dan inayah dari Allah SWT.

“Semoga Belanjawan 2025 yang dibentangkan juga dapat mensejahterakan seluruh rakyat dari sudut jasmani dan rohani, pendidikan, ekonomi dan sebagainya. Insya-Allah,” katanya.

Dalam khutbah bertajuk ‘Sihat Seperti Rasulullah’ itu, Mohd Zikri antara lain mengajak umat Islam untuk membudayakan gaya hidup sihat supaya berupaya dan kekal bertenaga bagi menyempurnakan segala tugasan serta ibadah.

Selain itu, umat Islam turut diseru untuk mengurangkan pengambilan gula dalam makanan dan minuman serta memperbanyakkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran.

Terdahulu, Anwar tiba di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini atau digelar Masjid Besi pada jam 1 tengah hari.

Ketibaan beliau disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Sirajuddin Suhaimee dan pihak pengurusan masjid.

Lebih 1,000 jemaah yang terdiri daripada penduduk setempat, penjawat awam dan pelajar turut serta dalam solat tersebut.

Perdana Menteri sebelum ini dilaporkan berkata, Belanjawan 2025 akan memberi tumpuan kepada isu inflasi dan menaikkan tahap pendapatan.

Menurutnya, isu kos sara hidup sentiasa menjadi kebimbangan rakyat dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memberikan keselesaan kepada rakyat yang terkesa

Ini adalah belanjawan ketiga oleh Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Anwar dan yang terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia Ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang.

Pembentangan Belanjawan 2025 akan disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan dan media sosial.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini