Tumpuan :
Nasional

‘Semoga ada keajaiban, Fahmi tenat akibat tercekik gula-gula’ – ibu bapa

Fakhruddin dan isteri ketika ditemui di Hospital Pulau Pinang. -Foto: NSTP

GEORGE TOWN: “Mohon doakan kesejahteraan anak sulung saya, dia sedang tenat. Semoga ada keajaiban untuknya.”

Demikian rayuan Mohamad Fakhruddin Mohamad Fikri, 35, bapa kepada kanak-kanak lelaki, Mohamad Fahmi, 10, yang kini dalam keadaan kritikal sejak kelmarin, dipercayai tercekik gula-gula ‘gummy’ mata.

Mohamad Fakhruddin berkata, kali terakhir dia dan isteri dapat melihat anaknya pada jam 8.30 pagi tadi di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) dan sudah berjumpa dengan doktor yang merawat.

Katanya, Muhamad Fahmi kini masih tidak menunjukkan apa-apa perkembangan dan doktor sedang berusaha merawatnya.

“Saya lihat air matanya bertakung seolah-olah menahan sakit. Doktor beritahu mereka sedang berusaha merawat dan dia hanya bergantung kepada mesin bantuan oksigen.

“Jika tiada perkembangan, mereka akan hentikan pemberian ubat bagi melihat perkembangan seterusnya.

“Luluh hati saya, seorang anak yang ceria tiba-tiba dalam keadaan begini. Pada masa ini kami sekeluarga hanya mampu berdoa dan berserah kepada kuasa Allah SWT.

“Tragedi yang menimpa anak sulung kami ini amat mengejutkan, kami tiada daya menghalangnya,” katanya ketika ditemui di perkarangan Hospital Pulau Pinang (HPP) hari ini bersama isteri, Noraini Mohamad Isa, 37 dan adik, Siti Farhanim Mohamad Fikri, 33.

Mengulas lanjut Mohamad Fakhruddin berkata, sejak anaknya dipindahkan ke PICU HPP dari Hospital Seberang Jaya, dia tidak pulang ke rumah dan belum berganjak dari ruang menunggu kerana menantikan khabar gembira daripada doktor.

Katanya, dia cuba untuk lelap seketika namun terjaga apabila terdengar seolah-olah Muhamad Fahmi memanggilnya.

“Betul dan jelas kedengaran Muhamad Fahmi panggil saya ‘baba’, seketika kemudian barulah tersedar ia hanya mimpi atau perasaan saya.

“Kelmarin, Muhamad Fahmi beritahu tidak mahu ke Kelas-Quran dan Fardhu ‘Ain (KAFA) kerana keletihan. Saya sangka itu hanya perkara biasa tambahan sesi persekolahan baharu sahaja bermula.

“Sebelum ini, ibunya yang menghantar dia ke kelas dan tidak sangka semalam menjadi pertemuan akhir kami.

“Sebelum masuk ke kelas, dia palingkan muka melihat saya dan pandangan matanya itu yang buat saya teringat sampai sekarang.

“Saya tidak mahu ia menjadi kenangan terakhir selama-lamanya, Muhamad Fahmi perlu kuat kerana ramai yang menanti.

“Kami akan bawa anak kedua (Nufa Fakhira, 4) datang melawat Muhamad Fahmi, sekurang-kurangnya dia boleh dapat rasakan kehadiran adiknya,” katanya lagi.

Menurut Muhamad Fakhruddin, dia tidak menyalahkan mana-mana pihak ke atas tragedi yang menimpa anaknya.

Namun, dia sedikit kesal apabila ada sesetengah individu menyalahkan anaknya kerana membeli gula-gula berkenaan.

“Kami sudah menderita menanggung semua ini, cukuplah beri ulasan negatif malah ada yang menyalahkan anak saya. Muhamad Fahmi tidak tahu apa-apa dan sendiri tidak tahu bahawa perkara ini akan berlaku.

“Kami hanya perlukan sokongan dan doa masyarakat serta berharap semua ini tidak akan berlaku kepada kanak-kanak lain,” katanya.

Semalam, media melaporkan mengenai Muhamad Fahmi yang kritikal dipercayai tercekik gula-gula berkenaan ketika berada di kelas.

Menurut Siti Farhanim, gula-gula berkenaan dikatakan dibeli di gerai di luar kawasan kelas berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini