comscore
Tumpuan :
Nasional

Semikonduktor: Malaysia jadi laluan pasaran Asia & ASEAN, Brazil di pasaran Asia Pasifik

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

RIO DE JANEIRO: Malaysia dan Brazil boleh bekerjasama dalam mendominasi pasaran industri semikonduktor yang akan memberi nilai tambah kepada kedua-dua negara.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, Malaysia boleh menjadi laluan industri semikonduktor untuk menembusi pasaran ASEAN dan Asia, manakala Brazil memainkan peranan sebagai rakan kongsi Malaysia dalam industri terbabit bagi laluan pasaran Asia Pasifik.

“Perdana Menteri telah berjumpa dengan pihak industri semikonduktor daripada Brazil dan memberikan komitmen supaya syarikat semikonduktor dari Malaysia dan juga syarikat semikonduktor dari Brazil bekerja untuk mengukuhkan kedudukan masing-masing.

“Kita bekerjasama untuk mengukuhkan ekosistem semikonduktor global terutamanya di tengah-tengah kancah geopolitik dan penjajaran semula rantaian bekalan,” katanya dalam sidang media kepada media Malaysia sempena lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke sini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20).

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, Malaysia ketika ini merupakan pengeksport semikonduktor keenam terbesar di dunia dengan eksport semikonduktor bernilai lebih AS$85 bilion, berbanding hanya AS$1 bilion oleh Brazil.

Bagaimanapun, Brazil sangat maju dalam reka bentuk litar bersepadu, iaitu komponen dalam sektor semikonduktor yang mana mereka bersedia untuk bekerjasama dengan Malaysia.

“Mereka bersedia membuka pejabat di Malaysia iaitu di Kuala Lumpur dan Selangor terutama untuk pusat reka bentuk litar bersepadu. Pada masa sama, kami ingin melihat usaha untuk mempelbagaikan rantaian bekalan syarikat kedua-dua negara,” katanya.

Tambah beliau, menerusi usaha sama itu, ia membolehkan syarikat Malaysia yang ‘mengintai’ pasaran Amerika Latin, Amerika Tengah dan Amerika Utara untuk mencari sinergi dengan syarikat di Brazil bagi membuka pasaran baharu mereka.

“Kita juga perlu mengurangkan risiko rantaian bekalan kita. Ia adalah ‘Strategi Malaysia + One’. Syarikat Malaysia kini kebanyakan syarikat global.

“Jadi, mereka juga perlu ada ‘Strategi Malaysia + One’ selain melihat akses kepada pasaran baharu yang lebih dekat dengan rantaian bekalan dan berdaya tahan,” katanya.

Sementara itu, jelasnya, bagi mengukuhkan kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan bakat dan daya tahan rantaian bekalan, dua memorandum persefahaman (MoU) melibatkan industri semikonduktor Malaysia dan Brazil dimeterai.

MoU pertama adalah di antara Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia bersama Persatuan Industri Elektrik dan Elektronik Brazil serta Persatuan Industri Semikonduktor Brazil.

Ia membabitkan kerjasama dalam pembangunan ekosistem, ketahanan rantaian bekalan, perancangan strategik, inovasi dan R&D.

“MOU kedua di antara MIMOS Services Sdn Bhd bersama Institut Elorado Brazil. Ini kerjasama R&D dalam bidang semikonduktor terutamanya mikroelektronik dan perbincangan mengenai pemindahan teknologi dan usaha komersial,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini