Oleh: Selwam Arjunan
PRAI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang membongkar kegiatan dua individu menyimpan minuman keras tidak bercukai selepas menyerbu sebuah rumah di George Town, pada 29 Mei lalu.
Pengarahnya, Hamisan Kalip berkata, pemeriksaan yang dilakukan menemui sebanyak 4,008 botol minuman keras pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM423,367.
Beliau berkata, kesemua minuman keras itu dipercayai tidak berkastam dan cukai bernilai RM694,211.
“Modus operandi yang digunakan adalah dengan menyembunyikan minuman keras yang disyaki tidak berkastam di tempat yang tidak dibenarkan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Siasatan awal mendapati minuman keras tersebut tidak dibayar cukai dan tiada dokumen-dokumen yang membuktikan dagangan tersebut lulus kastam,” katanya pada sidang media di Kompleks Pencegahan Kastam Pulau Pinang, hari ini.
Menurutnya, siasatan turut mendapati rumah berkenaan dijadikan sebagai tempat penyimpanan minuman keras yang tidak dibayar cukai dan tiada pengikraran yang sah sebelum diedarkan di pasaran tempatan.
Kedua-dua suspek berusia lingkungan 40 dan 70 tahun yang juga penyewa dan penjaga stor di rumah berkenaan ditahan bagi membantu siasatan mengikut seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976.