Tumpuan :
Nasional

“Sembilan tahun saya tunggu untuk dapatkan dia”

 

SUNGAI PETANI: Seorang ibu reda dengan pemergian serentak anaknya, Muhammad Ziyaaf Mikhail Muhammad Yuzarith, setahun tujuh bulan dan bapanya, yang ditemui lemas dalam kolam terbiar, berhampiran sebuah restoran di Taman Kempas, di sini, lewat petang semalam.

Zarina Azmi, 34 berkata, kejadian itu disedari suaminya, Muhammad Yuzarith Martin Abdullah, 37, selepas mendapati anak tunggalnya serta bapa mentuanya tidak pulang ke rumah jam 7 malam.

Dia kemudian keluar mencari mereka di kawasan kolam terbiar itu.

Artikel berkaitan: Datuk, cucu maut dipercayai lemas dalam kolam

Bagaimanapun, luluh hatinya apabila menemui jasad datuk dan cucu itu lemas dan terapung dalam kolam berkenaan.

Jasad datuk dan cucu ditemui terapung di kolam terbiar berhampiran sebuah restoran di Taman Kempas. – Foto: NSTP

“Semalam, anak duduk seharian dengan saya. Dia manja dan peluk saya sebelum ayah saya datang ambil dia kira-kira jam 5 petang.

“Tak lama kemudian, saya dikejutkan dengan berita yang ayah dan anak saya ditemukan lemas di kolam berhampiran restoran itu,” katanya.

Menurut Zarina, Muhammad Ziyaaf Mikhail adalah anak tunggalnya dan hampir sembilan tahun menanti kelahirannya.

“Sembilan tahun saya tunggu untuk dapatkan dia,” katanya.

Sementara itu, Yusof Abdullah, 61, adik kepada Azmi berkata, kali terakhir dia bertemu arwah abangnya bulan lalu.

Azmi Abdullah (dalam bulatan) yang ditemui lemas bersama cucunya berusia setahun tujuh bulan di sebuah kolam terbiar berhampiran sebuah restoran di Taman Kempas. – Foto: NSTP/IHSAN Keluarga

Katanya, dia mengetahui perkara itu selepas dihubungi ahli keluarga mereka sebaik solat Maghrib dan terus ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini, untuk melihat keadaan mereka.

“Arwah pencen sebagai tukang kebun sekolah dan sejak itu, dia banyak menghabiskan masa di rumah selain bermain dengan cucunya.

“Memang menjadi rutin hariannya membawa cucunya itu meronda pada petang dengan menunggang motosikal memandangkan ibu dan bapa kanak-kanak itu bekerja,” katanya ditemui di Jabatan Forensik HSAH, hari ini.

Menurut Yusof, dia difahamkan, kejadian dipercayai berlaku apabila Muhammad Ziyaaf Mikhail turun daripada motosikal dan meluru ke arah kolam sebelum terjatuh ke dalam kolam berkenaan.

Katanya, berkemungkinan Azmi cuba menyelamatkan cucunya itu, namun dia turut lemas.

“Kalau tengok keadaan kolam itu, airnya tak dalam mana pun tapi mungkin disebabkan licin akibat lumut, arwah tak berdaya nak selamatkan diri.

“Apapun yang berlaku, semuanya sudah suratan takdir dan kami reda dengan apa yang berlaku,” katanya.

Menurut Yusof, Azmi mempunyai lima anak serta 10 cucu dan Muhammad Ziyaaf Mikhail serta ibu bapanya tinggal bersama di Kampung Permatang Berangan.

Jenazah Azmi dan Muhammad Ziyaaf Mikhail  dibawa pulang ke rumah mereka di Kampung Matang Berangan, Pinang Tunggal selepas selesai urusan bedah siasat untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Matang Berangan selepas Zohor.

 

Loading...
Terkini