Oleh: Izzatie Rizan
KUALA LUMPUR: Sesuai dengan profesionnya maka tak peliklah cikgu sejarah mempunyai semangat patriotik yang membara.
Ia dibuktikan Muhammad Firdaus Kamaruzaman yang sanggup pusing Kuala Lumpur demi mengedarkan seribu jalur gemilang.
Inisiatif itu tidak dilakukan sendirian tetapi turut ditemani sukarelawan yang terdiri daripada 13 pelajar dan penuntut Institut Pengajian Tinggi Tempatan (IPT) demi menyemarakkan semangat kemerdekaan masyarakat setempat.
Muhammad Firdaus Kamaruzaman 30, atau dikenali sebagai Cikgu Fir berkata inisiatif mengedarkan jalur gemilang juga merupakan ilhamnya bagi menyuntik semangat kemerdekaan dalam generasi muda.
Untuk itu dia tidak kisah menggunakan duit poket sendiri bagi menjayakan misi berkenaan.
Lengkap bertanjak dan memakai busana melayu Muhammad Firdaus mula mengedarkan jalur gemilang sejak jam 10 pagi tadi dan akan berakhir pada ambang merdeka malam ini.
Cikgu Fir yang merupakan penceramah sejarah percaya ini cara terbaik menghayati erti kemerdekaan khususnya mendekati golongan belia.
“Saya rasa ini adalah satu cara agar golongan muda sentiasa mengingati sejarah negara. Apabila sebut sahaja sejarah saya mahukan anak bangsa anggap ianya adalah menyeronokkan…untuk kita kenang perjuangan tokoh-tokoh terdahulu.
“Untuk mendapatkan kemerdekaan kita perlukan perjuangan. Walaupun perjuangan kita kini tak seperti dahulu…tapi sekurang-kurangnya dengan pegang jalur gemilang pun dapat tunjukkan ‘satu perjuangan,”katanya kepada Buletin TV3.
Selain warga Malaysia jalur gemilang turut diagih kepada pelancong asing di Dataran Merdeka, kawasan pusat beli belah sekitar Jalan TAR, Bukit Bintang dan juga di KLCC.
Melihat kepada sambutan yang amat menggalakkan inisiatif ini katanya akan diteruskan pada masa akan datang.
“Memang dari jam 10 pagi tadi sambutan sangat menggalakkan, saya memang berhasrat tahun depan untuk lakukannya lagi secara menyeluruh ke pelbagai negeri seperti Johor dan Melaka. Kalau boleh kami nak edarkan bendera satu Malaysia,” ujarnya.