comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Semakan kehakiman Swatch terhadap KDN ditangguh 23 Ogos

KUALA LUMPUR: Permohonan semakan kehakiman oleh syarikat jam tangan Swatch terhadap kerajaan Malaysia dan Menteri Dalam Negeri bagi mencabar tindakan merampas 172 jam tangan bertemakan pelangi dan sering dikaitkan dengan komuniti LGBT ditangguhkan ke 23 Ogos depan.

Keputusan itu dibuat selepas prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh, secara dalam kamar, hari ini.

Syarikat jam tangan itu memohon untuk membuat beberapa pindaan dalam semakan berkenaan sebelum dibenarkan mahkamah.

Pada 24 Jun lalu, Swatch menerusi Tetuan Nizam Bashir & Associates memfailkan permohonan terbabit dengan menamakan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan KDN, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan selaku responden pertama hingga keempat.

Dalam permohonannya, Swatch mendakwa penyitaan itu tidak sah kerana jam tangan siri ‘Pride Collection’ itu bukan sebuah ‘penerbitan’ yang boleh dilarang dalam Akta Mesin Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984.

Menurutnya, berdasarkan akta itu istilah penerbitan terhad untuk dokumen, surat khabar, buku atau sebarang bahan dalam bentuk bercetak.

Pemohon juga mendakwa tindakan responden dilakukan atas motif politik yang tidak wajar, mengambil kira pilihan raya Dewan Undangan Negeri akan datang di beberapa negeri penting.Ia mendakwa menteri sedang mencari pengiktirafan Islam bagi tujuan politik.

Pemohon mendakwa jam tangan yang disita tidak mempromosikan apa-apa gejala seksual, namun hanyalah ekspresi menyeronokkan mengenai keamanan dan cinta.

Katanya, jam tangan dari reka bentuk 2023 adalah satu daripada enam warna pelangi dan hanya kelihatan di sebahagian kecil gelung jam berkenaan.

Pemohon menuntut satu perintah certiorari dan mandamus untuk membatalkan notis penyitaan dan mengembalikan jam tangan berkenaan serta ganti rugi yang dianggarkan RM64,795.

Pada 13 dan 14 Mei lalu, KDN menyerbu 11 butik jam tangan jenama Swatch di beberapa negeri dan merampas koleksi bertemakan pelangi yang sering dikaitkan dengan komuniti LGBT.

Serbuan selama dua hari diadakan di butik Swatch yang terletak di pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur, One Utama, Sunway Pyramid, Setia City Mall, Mid Valley Megamall, Southkey, Sunway Putra Mall, Sogo KL, Queensbay, Fahrenheit 88 dan Suria Sabah.

Lima lagi butik diberi amaran iaitu di Kuala Terengganu City Centre, AEON Kota Bharu, Aman Central Kedah, City Square dan Viva City Kuching.

Loading...
Terkini