Tumpuan :
Nasional

Semakan CCTV tidak temui kejadian mangsa dicederakan di TASKA – Polis

SHAH ALAM: Polis menerima laporan berhubung seorang kanak-kanak autistik berusia enam tahun mengalami kecederaan ketika berada di sebuah taman asuhan kanak-kanak (TASKA) dekat Seksyen 7 di sini, pada Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata laporan itu dibuat ibu mangsa pada jam 11.18 pagi 16 Januari lalu.

Beliau berkata, pada 15 Januari sekitar jam 9.30 malam, bapa mangsa melihat kesan kemerahan di bahagian belakang badan serta bawah mata kanan semasa memandikan mangsa.

Katanya, pengadu juga memaklumkan mangsa tidak aktif dan kurang berinteraksi semasa diambil dari taska pada hari yang sama.

“Hasil siasatan mendapati mangsa mempunyai ‘Mild Austism’ dan sukar berkomunikasi. Pengadu menghantar mangsa ke taska berkenaan sejak 2022 dan ini adalah kali pertama kejadian seperti itu berlaku.

“Tempat kejadian sebuah rumah teres setingkat yang dijadikan sebuah taska dan sudah beroperasi sejak 2021 dengan mempunyai lesen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang tamat pada 14 Mac ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, menerusi semakan kamera litar tertutup (cctv) di tempat kejadian juga tidak menemui kejadian mangsa dicederakan.

“Kertas siasatan sudah dirujuk kepada Pihak Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor yang berkeputusan ‘No Futher Action’ (NFA) memandangkan tiada keterangan yang kukuh untuk meneruskan kes ini, setakat ini.

“Sekiranya terdapat bukti lain yang dikemukakan mana-mana saksi, siasatan boleh diteruskan dan menyerahkan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk arahan lanjut.

“Justeru, mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kes Inspektor S Vemal di talian 011-39216101,” katanya.

Mohd Iqbal berkata, mangsa sudah mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di Hospital Shah Alam dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Terdahulu, seorang pengguna Facebook dipercayai bapa kanak-kanak itu berkongsi bahawa kesan lebam pada badan anak lelakinya adalah kesan dera berdasarkan laporan perubatan daripada hospital.

Katanya, laporan daripada pusat terapi juga menunjukkan kanak-kanak itu mengalami perubahan ketara selepas kejadian itu.

Justeru, bapa mangsa kecewa selepas dimaklumkan bahawa kes berkenaan dianggap sebagai NFA.

Loading...
Terkini