![](https://media.buletintv3.my/2025/02/SAIFUDIN.jpg)
GEORGE TOWN: Kerajaan akan meneliti semula peruntukan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dengan fokus prinsip keadilan bagi mencapai keseimbangan antara kewajipan mempertahankan keselamatan negara, ketenteraan awam dengan menghormati hak asasi seseorang individu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu menjadi fokus pembentangan beliau di Parlimen pada minggu depan dalam menyampaikan arah dan hala tuju SOSMA, berdasarkan perspektif keputusan kerajaan seperti dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri, semalam.
Beliau berkata, penelitian dan semakan semula akta tersebut turut mengambil kira keperluan mengekalkan peruntukan tertentu bagi menangani jenayah terancang dan ancaman keselamatan ekstrem, pada masa sama menilai aspek keadilan dalam pelaksanaannya.
“Ia mencakupi banyak perkara tapi saya akan memberikan penekanan terlebih dahulu, pertama mengenai seksyen yang dianggap sebagai barangkali sudah sampai masanya untuk kerajaan teliti balik secara khusus misalnya Seksyen 13 yang berkaitan dengan jaminan.
“Jadi Jemaah Menteri memperhalusi aspek mana SOSMA ini digunakan dalam kes yang bagaimana, jenayah terancang misalnya atau gengterisme tahap ekstrim tidak terjangkau dek akal kita tetapi berlaku,” katanya kepada media selepas merasmikan Sambutan Dua Dekad Maritim Malaysia di sini, hari ini.
Semalam, Jurucakap Kerajaan Perpaduan yang juga Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Mesyuarat Kabinet bersetuju Akta SOSMA diteliti dan disemak.
Fahmi berkata, perkara itu ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mesyuarat Jemaah Menteri semalam susulan pengumuman pindaan Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736), Khamis lalu.
Saifuddin berkata, SOSMA dilihat sebagai undang-undang yang sesuai digunakan bagi menangani jenayah di luar daripada kebiasaan seperti jenayah sadis, atau aktiviti berkaitan keganasan yang mengancam keselamatan serta ketenteraan awam dan keselamatan negara.
Beliau turut menegaskan, semakan ke atas SOSMA bukan keputusan Kabinet secara tiba-tiba, namun langkah itu diambil selepas sesi libat urus secara berterusan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) sejak dua tahun lalu.
“Ini bukanlah kita buat hanya kerana keputusan Kabinet semalam, sebenarnya sepanjang dua tahun saya berada di KDN, sesi libat urus ini kami lakukan secara berterusan.
“Kami adakan bengkel, perbincangan, kami panggil pakar-pakar, kami panggil individu berkepentingan, bahagian keselamatan serta memanggil pihak bertanggungjawab membabitkan pemegang taruh dan siri perbincangan ini mereka buat dengan menerima maklum balas daripada pelbagai pihak.
“Jadi pada akhir (selepas) mendengar maklum balas itu, ada kewajarannya untuk KDN memberikan input itu melalui Pernyataan Menteri. Tapi hal tujunya adalah kesediaan Jemaah Menteri, Kerajaan untuk tengok balik akta ini, terutama seksyen yang memerlukan kita teliti semula,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.