Tumpuan :
Nasional

Semak status tunggakan cukai, sekatan perjalanan sebelum melancong ke luar negara – LHDN

LHDN mengingatkan orang ramai supaya menyemak status tunggakan cukai dan sekatan perjalanan sebelum merancang perjalanan ke luar negara. – Foto fail

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengingatkan orang ramai supaya menyemak status tunggakan cukai dan sekatan perjalanan sebelum merancang perjalanan ke luar negara.

Jabatan Khidmat Korporat LHDN dalam satu kenyataan berkata, ini berikutan agensi itu diberi kuasa untuk menghalang mana-mana individu daripada meninggalkan tanah air jika mereka atau syarikat dimiliki mempunyai tunggakan cukai tidak dijelaskan kepada kerajaan.

“Seiring dengan trend terkini masyarakat Malaysia yang gemar melancong ke luar negara atau mengerjakan ibadat, LHDN menyarankan kepada semua pembayar cukai untuk terlebih dahulu menyemak status tunggakan dan sekatan perjalanan masing-masing sebelum merancang sebarang perjalanan ke luar negara.

“Menurut Seksyen 104 dan 75A Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, dan Seksyen 22 Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah (ACKHT) 1976, HASiL diberi kuasa untuk mengambil tindakan sedemikian.

“Sekatan perjalanan adalah tindakan terakhir yang boleh dikenakan sekiranya pembayar cukai masih lagi gagal membuat bayaran terhadap baki cukai yang tertunggak (individu dan syarikat) selepas pelbagai peringatan dan notis telah diberikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

LHDN dalam kenyataan sama berkata sehingga 30 November lalu, sebanyak 203,123 kes sekatan perjalanan direkodkan di seluruh negara.

Katanya, bagi kes membabitkan individu di bawah Seksyen 104 (ACP) 1967, jumlah sekatan yang dibuat adalah 175,656, manakala Seksyen 75A 1976 bagi kategori syarikat, ia merangkumi 15,070 kes.

“Sebanyak 12,205 kes direkodkan bagi Seksyen 22 ACKHT 1976 (Individu) dan Seksyen 22 Subperenggan 5 (1A) ACKHT 1976, membabitkan 192 syarikat,” katanya.

LHDN berkata sejak 4 Mac lalu, orang ramai khususnya pembayar cukai yang ingin membuat permohonan pembatalan sekatan perjalanan boleh berbuat demikian secara dalam talian menerusi perkhidmatan e-Sekatan Perjalanan.

Perkhidmatan itu juga boleh diakses menerusi portal MyTax, selain menggunakan saluran sedia ada iaitu dengan menghubungi HASiL Contact Centre di talian 03-8911 1000 atau hadir ke pejabat LHDN atau HASiL berhampiran.

“HASiL juga ingin menjelaskan bahawa tindakan sekatan perjalanan ke luar negara terhadap mana-mana pihak bukan bertujuan menafikan hak mereka tetapi tindakan berkenaan adalah satu daripada usaha untuk menguatkuasakan undang-undang percukaian sedia ada kepada pembayar cukai yang gagal melunaskan tunggakan cukai.

“Oleh itu, pembayar cukai perlu sentiasa peka dalam melaksanakan tanggungjawab mereka setiap masa dan jangan bertangguh dalam menyelesaikan hal percukaian bagi mengelakkan sebarang kesulitan pada masa depan,” katanya.

HASiL menasihatkan semua pembayar cukai yang ingin ke luar negara untuk menyemak status tunggakan cukai masing-masing terlebih dahulu menerusi portal MyTax yang boleh dicapai di pautan https://mytax.hasil.gov.my/.

Selain itu, semakan sekatan perjalanan ke luar negara boleh dilakukan menerusi portal rasmi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di https://sspi.imi.gov.my/sspi/.

Maklumat lanjut berkenaan e-Sekatan Perjalanan boleh dirujuk pada soalan lazim permohonan pembatalan sekatan perjalanan menerusi capaian pantas di https://www.hasil.gov.my/individu/lain-lain/soalan-lazim-individu/.

Bagi pertanyaan, boleh hubungi Hasil Contact Centre (HCC) di talian 03-8911 1000 atau 603-8911 1000 (Luar Negara) selain mendapatkan maklum balas melalui HASiL Live Chat; atau mengisi borang maklum balas di portal rasmi HASiL menerusi https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini