KUALA LUMPUR: Orang ramai yang berhasrat untuk beriadah di kawasan rekreasi air ketika ini dinasihatkan supaya peka dengan perubahan cuaca bagi mengelak insiden tidak diingini.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, terdapat tiga negeri iaitu Selangor, Sarawak dan Perak yang dilaporkan banjir ekoran hujan lebat.
“Ketika ini adalah musim cuti bagi institusi pengajian tinggi dan pastinya ramai yang akan mengambil peluang untuk bercuti termasuk di kawasan rekreasi air.
“Justeru, kami menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dengan perubahan cuaca dengan mendapatkan maklumat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (Mets Malaysia),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Kelab Bomba Cilik JBPM di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Nordin Pauzi dan Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran JBPM, Datuk Khirudin Drahman.
Nor Hisham berkata, terdapat beberapa kawasan rekreasi air di Gombak dan Hulu Selangor merekodkan peningkatan air mendadak akibat hujan lebat, semalam.
“Kami menasihatkan orang ramai supaya tidak berada di kawasan tadahan air mengalir apabila cuaca buruk (hujan lebat) memandangkan paras air boleh meningkat dengan cepat.
“Orang ramai yang mahu pergi ke kawasan rekreasi air diminta supaya memeriksa keadaan cuaca terlebih dahulu cuaca sebelum bergerak ke lokasi.
“Adalah dinasihatkan kepada orang ramai supaya tidak meneruskan perancangan ke lokasi yang dinyatakan mengalami cuaca buruk bagi mengelak insiden tidak diingini,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.