comscore
Tumpuan :
Nasional

Seludup sisik tenggiling: SPRM kenal pasti penguat kuasa bersekongkol sindiket

FOTO: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti pegawai penguat kuasa yang bersekongkol dengan sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling antarabangsa yang ditumpaskan suruhanjaya berkenaan menerusi Op Jaguar baru-baru ini.

Pada masa sama, SPRM menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya kini sedang giat memperoleh maklumat dalam siasatan berhubung dakwaan sindiket berkenaan yang dipercayai turut menyogok penguat kuasa serta terbabit aktiviti pengubahan wang haram.

“Dalam perkembangan terkini berhubung Op Jaguar, SPRM telah merakam pernyataan individu-individu dan membuat penggeledahan dikediaman serta premis-premis terlibat.

“SPRM turut menahan seorang lagi individu bagi membantu siasatan menjadikan jumlah yang ditahan setakat hari ini adalah seramai lapan orang,” menurut kenyataan itu.

Sabtu lalu, media melaporkan, empat individu berusia antara 30 hingga 50-an yang dipercayai terbabit dalam sindiket tersebut direman dua hingga empat hari.

Terdahulu, Buletin TV3 melaporkan SPRM menumpaskan sindiket berkenaan di sebuah premis di Klang, Selangor dan Kuala Lumpur pada Jumaat lalu, apabila merampas hampir dua tan sisik haiwan itu bernilai kira-kira RM23.4 juta.

Sindiket berselindung di sebalik perniagaan membuat tayar celup dan menjadikan ruangan tingkat atas premis sebagai stor penyimpanan sisik tenggiling.

Sindiket dipercayai bertindak sebagai orang tengah yang mencari pelanggan yang ingin membeli hidupan liar yang telah dikeringkan dan diawet di pasaran gelap, selain penjaga premis bagi tempat penyimpanan hidupan liar yang diseludup.

Menerusi risikan dijalankan SPRM, isu penyeludupan haiwan liar ini sedang meningkat naik dan Malaysia dipercayai menjadi hab atau transit bagi sindiket itu menjalankan operasi mereka.

Sementara itu, SPRM sedang mengesan Sheikh Biman Sheikh Ahmad, 43, bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Alamat terakhir Sheikh Biman adalah di No 53, Jalan Sama Gagah 15, Taman Telok Gedong Indah, Pelabuhan Klang.

Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lelaki tersebut diminta menghubungi pegawai penyiasat, Siti Norazirah Ramli di talian 03-88700249 atau 019-8557290 atau emel kepada [email protected].

Loading...
Terkini