
KAJANG: Kerana berselisih faham dengan kekasihnya, seorang wanita nekad mahu terjun dari tingkat dua sebuah pangsapuri sekitar Bandar Teknologi, di sini, hari ini, sebelum berjaya dihalang.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata tindakan pantas anggota polis dan orang awam berjaya menarik wanita berusia 37 tahun itu ke tempat selamat.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira 9.45 pagi itu, mangsa dilihat duduk di tebing beranda pangsapuri berkenaan dan bersedia untuk terjun sebelum orang awam menghubungi polis.
“Anggota dari Balai Kajang bergegas ke lokasi lalu cuba menenangkan mangsa yang sedang duduk di tebing beranda untuk terjun ke bawah dipercayai akibat perselisihan faham dengan kekasihnya.
Pihak polis dan seorang pekerja swasta berusaha memujuk dan menasihati wanita itu. Ketika dia leka, mereka menarik wanita itu menjauhi tebing beranda,” katanya dalam satu kenyataan hari.
Naazron berkata susulan itu, mangsa dibawa ke Hospital Kajang bagi mendapatkan rawatan dan pemeriksaan.
Katanya, pemeriksaan rekod perubatan mendapati, mangsa tidak mempunyai masalah gangguan mental atau pernah menerima rawatan mental di mana-mana hospital sebelum ini.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan keadaan ahli keluarga atau individu terdekat yang mempunyai masalah tekanan perasaan.
Khidmat nasihat dan kaunseling boleh didapati melalui Talian Kasih, 15999 atau mana-mana kaunselor bertauliah sekiranya diperlukan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.