Tumpuan :
Nasional

Selesaikan segera projek perumahan untuk rakyat – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) pada Majlis Pecah Tanah PRR Harmoni MADANI Bestari Jaya, Selangor di tapak projek PRR Harmoni MADANI Bestari Jaya, Tanjong Karang. – FOTO: NSTP

KUALA SELANGOR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua pihak berkaitan melaksanakan segera kerja pembangunan projek perumahan untuk rakyat mengikut masa yang ditetapkan.

Perdana Menteri berkata, jika kelulusan sudah diperoleh, beliau tidak mahu adanya sebarang penangguhan kerana ia boleh menyebabkan wujudnya kos tambahan.

Katanya, beliau tidak mahu wujudnya sebarang unsur rasuah dalam pembinaan projek perumahan yang akhirnya memberi kesan kepada kos keseluruhan.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu tegas dalam memberi amaran supaya wang tidak hilang.

“Kos RM77 juta, RM10 juta hilang. Jadi saya hendak beri peringatan baik PR1MA (Perbadanan PR1MA Malaysia), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), majlis perbandaran. Kita kena ingat jika hendak angkat Malaysia sebagai negara hebat, kita kena sepakat, kena bersih.

“Jika semuanya sudah berjalan lancar dan kita sudah setuju, tangguh apa lagi. Jangan tangguh sebab kalau tangguh, ia ada kos tambahan (holding cost). Ia bebankan kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Program Residensi Rakyat (PRR) Harmoni MADANI Bestari Jaya, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Projek perumahan itu adalah kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan Selangor, PR1MA dan Syarikat Berjaya Corporation Berhad (BCB) dengan kos pembangunan sebanyak RM75 juta.

Dalam perkembangan sama, Anwar berkata, projek PPR Harmoni MADANI Bestari Jaya adalah bukti keprihatinan kerajaan dalam membantu pekerja ladang di lima estet iaitu Ladang Mary, Ladang Nigel Garder, Ladang Bukit Tagar, Ladang Sungai Tinggi dan Ladang Minyak untuk memiliki kediaman sendiri.

Beliau berkata, pihaknya mahu projek PRR Harmoni MADANI Bestari Jaya ini dijadikan model pembinaan perumahan untuk rakyat di kawasan estet.

Projek PRR itu berkonsepkan kawasan kejiranan perumahan moden yang selesa dan selamat dengan setiap unit dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu dan makan, dapur, langkan (yard) termasuk tiga unit rumah bagi golongan orang kurang upaya (OKU).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini